LONDON, 31 Jan – Kevin De Bruyne percaya apabila Fernandinho kembali daripada penggantungan akan mengukuhkan asas Manchester City dalam kempen Liga Perdana Inggeris terutama bagi aksi menentang West Ham pada Rabu.
Skuad bimbingan Pep Guardiola ketika ini berada di tempat keempat terbaik liga dan ketinggalan 12 mata daripada pendahulu Chelsea selepas hanya meraih satu kemenangan dalam empat perlawanan terakhir.
City yang masih mengharapkan gelaran liga musim ini bagaikan mendapat suntikan semangat selepas kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace dalam aksi pusingan keempat Piala FA, Sabtu lalu malah De Bruyne yakin penampilan semula pemain tengah Brazil, Fernandinho amat penting buat kelab itu.
Fernandinho telah menjalani penggantungan empat perlawanan selepas menerima kad merah ketiganya dalam enam perlawanan ketika menentang Burnley pada 2 Januari lalu.
Semasa ketiadaan Fernandinho, City berhadapan pelbagai kesulitan termasuk tewas 0-4 kepada Everton yang menjadi kekalahan terbesar Guardiola dalam saingan liga sebagai pengurus.
“Secara jujurnya kami amat merinduinya. Dia adalah pemain yang amat penting buat pasukan City. Peranannya di bahagian tengah amat penting bagi membantu pergerakan pasukan agar lebih tersusun dalam masa sama dia juga amat bagus ketika mengawal bola.
“Kini dia telah menjalani hukumannya dan akan kembali beraksi bersama kami. Ini adalah satu pembakar semangat buat kami terutama selepas dia terlepas tujuh perlawanan musim ini termasuk akibat penggantungan.
“Jika anda mendapat kad merah di England anda akan digantung tiga atau kadang-kala empat perlawanan dan tidak banyak yang anda dapat lakukan.
“Bagi saya Fernandinho adalah salah seorang pemain tengah yang amat bagus dan kami amat bertuah kerana memilikinya,” kata De Bruyne. – AFP