YORK, North Yorkshire, 18 April – Persatuan Brunei-York (BruYork) baru-baru ini mengadakan forum motivasi tahunan berlangsung di teater kuliah University of York yang dihadiri lebih 30 pelajar Brunei di sekitar United Kingdom.
Forum bertemakan ‘Lapas Ani Apa?’ itu bertujuan memberi panduan dan bimbingan kepada pelajar lepasan graduan mengenai perancangan masa depan mereka. Ia dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang. Ahli panel pada sesi pagi terdiri daripada Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, Awang Muskrisman Safari bin Haji Mustapha dan Awang Muhammad Ayyub bin Haji Kamaluddin. Yang Berhormat Dayang Khairunnisa pada forum itu menerangkan mengenai kerja-kerja sukarelawan yang pernah dilakukannya selepas tamat belajar dan bagaimana ia membakar keghairahannya untuk melakukan kerja-kerja kebajikan.
Manakala pada sesi petang, ahli panel terdiri daripada Presiden Kesatuan Pelajar Brunei, Dayang Nur Fifi Hazwani binti Hasman, Awang Muhammad Wazien Naufal bin Awang Azmain dan Dayang Siti Nur Syahmina Zaini.

Topik-topik dibincangkan termasuklah permulaan perancangan, bagaimana mencapai matlamat dan bagaimana berdepan dengan kegagalan.
Turut hadir pada forum itu ialah perwakilan dari Unit Pelajar Brunei, Dayang Siti Huzaiman binti Haji Azhari manakala perantara bagi kedua-dua sesi forum ialah Awang Muhammad Faiz bin Abdul Hamid.