Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Lebih daripada 200 orang terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan pengetua sekolah menghadiri Sesi Taklimat Biasiswa Pendidikan Belia Negara Brunei Darussalam-Republik Singapura (BS-YES) yang berlangsung di Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Sesi taklimat anjuran Kementerian Pendidikan Republik Singapura dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam memberikan peluang kepada pelajar-pelajar Tahun 6 dan Tahun 8 yang disenarai pendek serta ibu bapa dan pengetua sekolah untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai biasiswa BS-YES dan peluang-peluang pendidikan di Singapura.
Dalam kata alu-aluannya di sesi taklimat berkenaan, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Laurence Bay menggalakkan para pelajar yang berpotensi untuk merebut peluang belajar di Singapura di mana mereka akan diberikan pendedahan kepada pengalaman baharu dan berharga yang akan mempersiapkan mereka untuk masa depan.
Beliau juga mengetengahkan peranan penting yang dimainkan oleh cendekiawan BS-YES dalam mengukuhkan dan menyumbang kepada hubungan dua hala istimewa antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Pengetua-pengetua sekolah rakan kongsi di Singapura iaitu Toh Thaim Chye dari Sekolah Menengah Dunman; Poh Shi Hui dari Sekolah Menengah Ngee Ann; dan Low Chun Meng dari Sekolah Victoria turut hadir pada sesi taklimat bagi mengongsi maklumat mengenai kurikulum, aktiviti kokurikulum serta sokongan harian yang ditawarkan oleh sekolah masing-masing kepada pelajar-pelajar di bawah biasiswa BS-YES.
Pelajar-pelajar yang disenarai pendek akan dinilai lanjut menerusi ujian pemilihan yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Singapura dan Kementerian Pendidikan Brunei.
Mereka yang terpilih bagi Biasiswa BS-YES akan berlepas ke Singapura pada hujung tahun untuk memulakan pengajian menengah mereka.
Biasiswa BS-YES yang ditubuhkan pada 2022 merupakan biasiswa berprestij bagi pelajar-pelajar Brunei terpilih yang cemerlang dalam pengajian mereka untuk melanjutkan pengajian menengah mereka di peringkat Menengah 1 dan Menengah 3 di Singapura.
Pada masa ini, terdapat seramai 10 pelajar Brunei di bawah biasiswa BS-YES.





