Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BSI April, Mei 2024 tidak berubah

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Indeks utama Indeks Sentimen Perniagaan (BSI), iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 49.9 bagi Mei 2024, sama seperti yang dilaporkan pada April 2024.

    Indeks itu menunjukkan bahawa perniagaan sektor swasta secara amnya menjangka keadaan perniagaan akan terus merosot pada Mei 2024. Hasil kaji selidik menunjukkan sektor-sektor mempunyai sentimen yang berbeza terhadap keadaan perniagaan semasa.

    Beberapa sektor merekodkan sentimen pesimistik yang dikaitkan dengan jangkaan tahap jualan yang lebih rendah disebabkan kemungkinan pengurangan dalam perbelanjaan selepas pembelian besar semasa musim perayaan.

    Walau bagaimanapun, dua sektor berpandangan optimistik dan menjangkakan keadaan perniagaan akan bertambah baik pada Mei 2024 mengambil kira ia bulan bekerja yang lebih panjang berbanding dengan April 2024.

    Indeks bagi satu bulan ke hadapan berada pada tahap 50.2, menunjukkan para peniaga mempunyai sentimen optimistik.

    Gambar menunjukkan Indeks bagi Mei 2024. – GAMBAR SERAHAN BDCB

    Prestasi perniagaan dijangka akan meningkat bagi Jun 2024 dengan jangkaan projek baharu dan peningkatan dalam permintaan bagi barangan dan perkhidmatan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha.

    Dapatan tersebut adalah dari BSI bagi Negara Brunei Darussalam untuk Mei 2024 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), baru-baru ini.

    BSI adalah berdasarkan kaji selidik ke atas lebih 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi dari semua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Sub-Indeks Pelaburan mencatat 50.1 bagi Mei 2024, 50.2 untuk satu bulan ke hadapan dan 50.1 bagi tiga bulan ke hadapan di mana ia menunjukkan secara amnya, para peniaga merancang untuk meningkatkan tahap pelaburan pada Mei 2024 dan juga beberapa bulan akan datang.

    Bagi Mei 2024, perniagaan merancang untuk meningkatkan pelaburan bagi pembelian kenderaan, peralatan dan mesin baharu untuk meningkatkan tahap pengeluaran dan sebagai persiapan projek-projek akan datang, memperluaskan premis perniagaan dan membuka cawangan dan kemudahan baharu serta menambah stok dengan jangkaan penjualan akan meningkat semasa musim jualan pertengahan tahun dan Pesta Pengguna pada Jun 2024.

    Selain itu, para peniaga juga menjangka akan meningkatkan tahap pelaburan dalam beberapa bulan akan datang seperti menyediakan tempat tinggal dan peralatan untuk pekerja-pekerja baharu.

    Sementara itu, Sub-Indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.2 bagi Mei 2024 dan bagi satu bulan ke hadapan. Meneruskan trend seperti sebelumnya, para peniaga mengongsi usaha berterusan mengambil pekerja untuk memenuhi keperluan operasi mereka.

    Beberapa perniagaan juga mengongsi cabaran-cabaran seperti kadar pemberhentian pekerja tempatan yang tinggi, proses pengambilan pakar-pakar dari luar negara yang tertangguh serta proses dan prosedur tertentu dari agensi-agensi berkaitan yang kurang jelas.

    Cabaran-cabaran itu menyumbang kepada peningkatan kos perniagaan dan juga ketidakupayaan untuk meningkatkan pengeluaran dan memenuhi keperluan projek.

    Beberapa perniagaan telah mengambil penuntut-penuntut sebagai perantis atau pekerja sambilan pada tempoh yang tertentu.

    Namun, perniagaan juga menyatakan kebimbangan ini merupakan penyelesaian jangka pendek sahaja kerana para pelajar perlu kembali ke institusi masing-masing semasa penggal pengajian.

    Manakala Sub-Indeks Kos Perniagaan adalah 50.2 bagi Mei 2024 dan 49.9 bagi satu bulan ke hadapan di mana secara amnya, para peniaga menjangka kos perniagaan akan meningkat pada Mei 2024 berbanding April 2024.

    Perniagaan menjangkakan peningkatan perbelanjaan bagi bahan-bahan, penyelenggaraan dan pembaikan serta bayaran gaji dan bayaran lebih masa kepada pekerja-pekerja.

    Perbelanjaan kos lain termasuk langganan tahunan dan kos pemindahan premis ke lokasi yang lebih kos-efektif. Bagi bulan-bulan seterusnya, perniagaan menjangka kos operasi yang lebih rendah berbanding Mei 2024 atas beberapa faktor seperti perbelanjaan yang tinggi pada bulan sebelumnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda