Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Sub-indeks Keadaan Perniagaan iaitu indeks utama kepada Indeks Sentimen Perniagaan (BSI), kekal pada 49.8 bagi bulan April 2023 di Negara Brunei Darussalam, yang menunjukkan keadaan perniagaan masih pesimistik.
Perniagaan sektor swasta menjangka penurunan permintaan produk dan perkhidmatan akibat perjalanan luar negara semasa cuti persekolahan. Selain itu, bulan Ramadan juga dijangka mempengaruhi aktiviti perniagaan dengan waktu bekerja yang lebih singkat.
Sentimen untuk bulan Mei 2023 lebih optimistik dengan peningkatan indeks Keadaan Perniagaan Satu Bulan ke Hadapan di tahap 50.2. Dapatan itu adalah daripada laporan BSI bagi Negara Brunei Darussalam bagi bulan April 2023 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini. Indeks tersebut berdasarkan kaji selidik terhadap hampir 500 perniagaan dari 11 sektor ekonomi.
Sub-indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi bulan April, yang menunjukkan peningkatan perbelanjaan pelaburan, tetapi perniagaan dijangka mengurangkannya kepada 49.9 dalam beberapa bulan akan datang.
Manakala, Sub-indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.3, yang menunjukkan peningkatan jumlah pekerja pada bulan April dan bulan berikutnya, seiring dengan rancangan pengembangan perniagaan.
Seterusnya, Sub-indeks Kos Perniagaan (49.9) dijangka lebih rendah pada bulan April disebabkan bulan Ramadan dan waktu kerja yang pendek. Kos dijangka meningkat pada bulan Mei (50.4) dengan waktu operasi biasa, gaji yang lebih tinggi, tambahan pengambilan pekerja dan aktiviti perniagaan dan pembuatan yang meningkat.
Enam sektor ekonomi menunjukkan sentimen optimistik, termasuk sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan, hotel dan restoran, pembuatan, dan sektor perkhidmatan lain. Perniagaan bersaiz kecil dan sederhana lebih optimistik, manakala perniagaan bersaiz besar melaporkan keadaan yang lebih kurang sama seperti bulan Mac 2023.