Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) hari ini telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) Negara Brunei Darussalam bagi Disember 2022.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BDCB, sub-indeks keadaan perniagaan iaitu indeks utama BSI adalah 50 bagi Disember 2022 berbanding 50.3 bagi November 2022.
Secara amnya, perniagaan sektor swasta mengalami keadaan perniagaan yang lebih kurang sama pada Disember 2022 berbanding bulan sebelumnya.
Beberapa perniagaan berpandangan optimistik dengan jangkaan peningkatan dalam permintaan terhadap produk dan perkhidmatan, projek-projek baharu, acara-acara semasa musim cuti dan perayaan, serta promosi jualan pagi penghujung tahun.
Walaupun pada Disember 2022, kebanyakan pekerja lazimnya menerima bonus gaji tahunan, beberapa perniagaan menjangka penurunan dalam permintaan dan jualan domestik dengan peningkatan jumlah penduduk yang akan bercuti ke luar negara.
Memandang ke hadapan, secara amnya prestasi bagi Januari 2023 dijangka kekal optimistik dengan indeks bagi keadaan perniagaan satu bulan ke hadapan di tahap 50.1.
BDCB menyatakan, ini didorong oleh jangkaan lebih banyak projek dan acara akan diadakan menjelang tahun baharu termasuk sambutan Tahun Baharu Cina dan penurunan dalam perjalanan ke luar negara mengambil kira permulaan penggal persekolahan.
Manakala bagi sub-indeks pelaburan adalah 50 bagi Disember 2022 yang mana 50 untuk satu bulan ke hadapan dan 50.6 bagi tiga bulan ke hadapan.
Ini juga menunjukkan, peniaga menjangka akan mengekalkan tahap perbelanjaan pelaburan dan hanya akan meningkatkannya dalam masa tiga bulan.
Di samping itu, perniagaan juga merancang untuk melabur antara lainnya dalam pembinaan infrastruktur ladang, pembelian bahan untuk melaksanakan projek baharu dan sebagainya.
Sementara itu, bagi sub-indeks pengambilan pekerja adalah 50 bagi Disember 2022 dan 50.4 bagi satu bulan ke hadapan yang mana ini menunjukkan pada Disember 2022, secara amnya, perniagaan dijangka akan mengekalkan jumlah pekerja tapi merancang mengambil pekerja pada bulan berikutnya bagi menggantikan yang telah berhenti.
Bagi sub-indeks kos perniagaan pula 50.3, dan 50 bagi satu bulan ke hadapan di mana peniaga menjangka kos menjalankan perniagaan akan meningkat pada Disember 2022.
Ini antaranya disebabkan kenaikan kos projek, kos pengangkutan, peningkatan perbelanjaan untuk kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan dan sebagai ini.
Bagi Januari 2023, peniaga turut menjangka kos yang lebih kurang sama berbanding dengan Disember 2022.
Di segi sektor ekonomi pula, lima daripada 11 sektor telah mencatatkan sentimen optimistik bagi Disember 2022 yang mana tiga sektor menunjukkan kenaikan sentimen tertinggi disebabkan musim cuti.
Dua lagi sektor yang menunjukkan sedikit kenaikan dalam sentimen adalah sektor pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan, dan sektor minyak dan gas dan yang berkaitan.
Kedua-dua sektor berkenaan telah mencatatkan peningkatan prestasi dengan tahap pengeluaran yang lebih tinggi.
Dua sektor telah menunjukkan sentimen pesimistik bagi Disember 2022 iaitu sektor pembinaan di atas jangkaan penurunan jumlah projek menjelang hujung tahun dan sektor perdagangan borong dan runcit yang tidak mencatatkan perbelanjaan domestik yang tinggi.
Sementara itu, sektor lain melaporkan sentimen terhadap keadaan perniagaan yang hampir sama pada Disember 2022 berbanding November 2022.