Oleh Salawati Haji Yahya
BANDRA SERI BEGAWAN, 11 NOV – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan atau Business Sentiment Index (BSI) Negara Brunei Darussalam bagi September 2025.
Indeks ini adalah berdasarkan kaji selidik ke atas kira-kira 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana, dan besar dari 11 sektor ekonomi, di semua daerah di Negara Brunei Darussalam.
BSI antara lain bertujuan untuk mengukur tahap sentimen/keyakinan perniagaan di Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja, dan kos menjalankan perniagaan.
BDCB dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini turut menyatakan, memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks ini boleh digunakan sebagai salah satu petunjuk awal keadaan makroekonomi negara.
Indeks utama BSI, iaitu sub-indeks Keadaan Perniagaan, dicatat pada tahap 49.9 pada September 2025, dan menunjukkan keadaan perniagaan yang sedikit pesimistik berbanding bulan sebelumnya.
Walau bagaimanapun, kebanyakan perniagaan melaporkan keadaan yang hampir sama seperti bulan sebelumnya, menandakan tahap perniagaan yang stabil.
Sentimen pesimistik ini sebahagian besarnya berpunca daripada permintaan pelanggan yang lemah, di mana kebanyakan perniagaan melaporkan keadaan pasaran yang lebih perlahan dengan tahap penjualan yang rendah.
Sebahagian lagi melaporkan menunjukkan penurunan aktiviti perniagaan disebabkan ketiadaan projek baharu selepas penyelesaian projek yang sedia ada.
Namun begitu, terdapat juga beberapa faktor yang menyumbang kepada sentimen optimistik, termasuk faktor bermusim seperti berakhirnya tempoh cuti persekolahan dan permulaan musim peperiksaan, di mana tahap perbelanjaan dalam negeri dijangka akan meningkat.
Ini turut dijangka peningkatan dalam jumlah pelanggan yang mengunjungi kedai-kedai, projek yang masih berlangsung, serta penambahbaikan operasi.
Promosi jualan, pelancaran produk baharu, dan kempen media sosial juga antara faktor positif yang dikongsikan oleh sesetengah perniagaan.

Indeks bagi satu bulan (1M) ke hadapan juga kekal pada tahap 49.9, mencerminkan bahawa, secara keseluruhan, kebanyakan perniagaan masih kekal sedikit pesimistik terhadap prospek keadaan perniagaan pada bulan Oktober.
Sentimen ini berpunca daripada jangkaan perbelanjaan pengguna yang lemah serta unjuran yang semakin menurun disebabkan penamatan kontrak yang tidak akan diperbaharui.
Manakala Sub-Indeks Pelaburan dicatat pada tahap 50.4 bagi September 2025, dan 50.5 bagi indeks satu bulan ke hadapan, 50.6 bagi tiga bulan ke hadapan, dan ini menunjukkan jangkaan peningkatan aktiviti pelaburan berbanding bulan sebelumnya.
Sebahagian besar perniagaan melaporkan rancangan untuk meningkatkan tahap pelaburan dalam beberapa bulan akan datang, khususnya bagi persiapan projek hujung tahun dan musim perayaan, serta penambahbaikan infrastruktur.
Antara faktor utama yang mendorong peningkatan pelaburan termasuk aktiviti pengembangan perniagaan, pembelian mesin dan peralatan, penambahan semula inventori bagi memenuhi permintaan bermusim, dan kerja-kerja pengubahsuaian.
Sementara Sub-Indeks Pengambilan Pekerjaan pula adalah 49.9 bagi September 2025 dan 49.9 bagi satu bulan ke hadapan, yang man secara keseluruhan, tahap pekerjaan bagi September 2025 kekal stabil.
Penurunan sentimen sebahagian besarnya berpunca daripada penamatan kontrak yang tidak diperbaharui, penyelesaian projek jangka pendek, dan langkah-langkah penjimatan kos mengambil kira prestasi perniagaan yang lebih perlahan.
Jangkaan bagi Oktober kekal sederhana, dengan penurunan dijangka berpunca daripada persaraan dan penamatan perkhidmatan, di samping pendekatan lebih berhati-hati di kalangan perniagaan, yang mencerminkan pengurusan berhemat dalam operasi dan perancangan belanjawan di tengah persekitaran permintaan yang tidak menentu.
Sub-Indeks Kos Perniagaan pula dicatat pada tahap 50.1 bagi September 2025 dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan, dan ini menunjukkan sedikit peningkatan kos pada September 2025 dengan jangkaan peningkatan selanjutnya pada bulan berikutnya.
Beberapa perniagaan menyatakan penyemakan kadar gaji, pengambilan pekerja baharu, dan bayaran lebih masa (overtime) sebagai faktor utama kepada peningkatan kos.
Perniagaan dalam sektor Pembuatan dan Pembinaan turut melaporkan peningkatan aktiviti dengan lebih banyak perbelanjaan untuk bahan-bahan, manakala sebahagian perniagaan mengaitkan kenaikan kos dengan perbelanjaan penyelenggaraan dan premium insurans.
Bagi bulan seterusnya, para peniaga menjangka tekanan kos akan berterusan, didorong oleh faktor-faktor yang serupa dengan bulan September.
Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn atau ikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.

