Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Brunei Shell Joint Venture (BSJV) telah meraikan seramai 158 kakitangannya atas komitmen dan sumbangan berterusan mereka, yang membawa jumlah terkumpul lebih 5,000 tahun perkhidmatan, pada BSJV Long-Service Emblem di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Brunei, malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Pemangku Pengarah Urusan dan Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran di Pihak Berkuasa Petroleum Negara Brunei Darussalam, Haji Kula bin Haji Metasan; ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BSJV dan ahli-ahli pasukan kepimpinan dari Syarikat-syarikat BSJV masing-masing.
Dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi Negara Syarikat Shell di Brunei dan Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis, berkata, “Saya berbangga untuk berkongsi malam istimewa ini dengan orang-orang berbakat, pekerja keras yang telah memperkasakan Brunei selama berpuluh-puluh tahun lamanya.
Sepanjang tahun ini, awda telah mendedikasikan masa, usaha, dan ketabahan setiap hari bekerja untuk memenuhi satu misi, bagi menjana kuasa Brunei.
“Walaupun satu pencapaian untuk menemui (minyak), ia juga satu kejayaan bagi mengekalkan perniagaan kita selama lebih daripada 90 tahun, sambil menyumbang ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dalam mewujudkan masa depan yang makmur dan mampan untuk Negara Brunei Darussalam,” katanya lagi, menceritakan tentang perjalanan pertama syarikat dengan penemuan minyak pada 1929 dan bagaimana ia telah membantu membentuk syarikat dan negara.
Bercakap bagi pihak penerima penghargaan pada majlis tersebut, Shapiee Hassan berkongsi perjalanan kerjayanya di samping menyatakan bahawa banyak kemajuan teknologi dan pembangunan manusia telah disaksikan sepanjang 40 tahun perkhidmatannya.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada kakitangan BSJV yang membawa tema ‘Malam Antarabangsa’ dengan menampilkan pelbagai lagu serta nyanyian antarabangsa.