Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) telah merasmikan pelancaran aplikasi Shell Advantage Rewards (SHARE) dalam Majlis Shell Mechanics Night 2024 yang berlangsung di Hotel Wafa, kelmarin.
Pada majlis tersebut, Pengarah Urusan BSM, Kapten Mohammed Alexirwan bin Haji Omar merakamkan keterujaannya bagi aplikasi SHARE di mana aplikasi itu merupakan langkah signifikan ke arah visi BSM bagi pendigitalan perkhidmatannya dan mengukuhkan kerjasama dengan mekanik-mekanik di serata Brunei.
Program itu, ulasnya, mengiktiraf kerja keras dan kepakaran para mekanik yang menggunakan pelincir Shell dengan menyediakan platform yang selamat dan mudah untuk memperoleh ganjaran.
Acara itu telah dihadiri oleh seramai 380 orang peserta daripada Program Shell Master Mechanics 2023, yang meraikan mercu tanda baharu dalam komitmen Shell kepada menyokong profesional automotif Brunei.
Aplikasi SHARE merupakan program yang disasarkan kepada mekanik kereta yang menggunakan pelincir Shell yang dibekalkan oleh BSM untuk penyelenggaraan kenderaan.
Program inovatif berkenaan menawarkan kemudahan kepada mekanik untuk mengumpul mata ganjaran dan manfaat dengan ciri-ciri yang mempertingkatkan penglibatan mereka dengan produk Shell.
Mekanik yang berdaftar boleh mengumpul mata dengan mengimbas pelekat ‘Untuk Pasaran Brunei’ yang diletakkan pada penutup botol pelincir Shell yang dibekalkan oleh BSM, yang memastikan keaslian produk tersebut.
Aplikasi SHARE juga menyediakan kemas kini secara langsung mengenai promosi dan pengumuman, membolehkan mekanik sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai tawaran BSM.
Mekanik di Brunei yang berminat untuk menyertai program kesetiaan Mekanik SHARE tersebut bolehlah menghubungi BSM untuk maklumat lanjut.