Tuesday, October 22, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    BSM rai 65 tahun perkhidmatan dengan pelancaran buku khas

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Dalam meraikan 65 tahun perkhidmatan dan dedikasi kepada negara, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) melancarkan buku meja kopi pertamanya bertajuk, Moving Forward with You, dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei, Dermaga Diraja, hari ini.

    Hadir di majlis berkenaan ialah Pamangku Pengarah Urusan BSM, Haji Mohd Hairul Radzi bin Haji Shahri. Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Muhammad Syahmi bin Halimshah; Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit; rakan-rakan perniagaan, pengurusan dan kakitangan BSM.

    Dalam kata alu-aluannya, Haji Mohd Hairul Radzi menyatakan buku itu memberikan gambaran dan renungan mengenai perkhidmatan, daya tahan dan sumbangan penting BSM kepada pelanggan, rakan kongsi dan kakitangannya selama enam setengah dekad.

    Beliau menekankan bahawa sokongan mereka amat mustahak untuk mencapai mercu tanda berkenaan dan kejayaan BSM terletak atas kerja berpasukan, kepercayaan dan visi bersama kepada pertumbuhan dan kemampanan.

    Majlis kemudian menyaksikan pelancaran buku berkenaan yang disempurnakan bersama oleh Haji Mohd Hairul Radzi dan Pengurus Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat BSM, Dayang Norleha binti Haji Delli.

    Buku meja kopi itu merupakan penghormatan visual kepada legasi 65 tahun BSM, meraikan pencapaiannya sambil menceritakan perjalanan luar biasa syarikat berkenaan dalam membentuk landskap tenaga Brunei di serata darat, laut dan udara.

    Ia merekodkan sejarah BSM daripada penubuhannya pada 1950, mengetengahkan penubuhan stesen minyak dan pembekalan bahan api Shell, minyak pelincir Shell, gas petroleum cecair (LPG), saraline dan bitumen ke seluruh negara.

    Buku itu juga menggariskan visi BSM bergerak ke hadapan, menumpukan kepada inovasi dan kemampanan, termasuk memperkenalkan stesen pengecas pantas runcit pertama Brunei di Stesen Minyak IBA di Lambak Kanan dan kepelbagaian ke arah tawaran Non-Fuel Retail (NFR) seperti Shell Car Care dan perkhidmatan kemudahan peruncitan seperti Shell Cafe dan Shell Select.

    Buku meja kopi berkenaan kini tersedia untuk tontonan di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Sejarah Brunei, di mana ia merupakan bukti yang kekal kepada komitmen tidak berbelah-bahagi BSM untuk berkhidmat kepada negara.

    Haji Mohd Hairul Radzi bergambar ramai pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Haji Mohd Hairul Radzi dan Dayang Norleha melancarkan perasmian buku meja kopi. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda