Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    BSM sasar matlamat sifar insiden

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Sepanjang 2022, terdapat 43 insiden keselamatan yang dilaporkan berlaku di stesen minyak di Negara Brunei Darussalam dan jumlah insiden pada 2023 menunjukkan penambahbaikan.

    “Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka mengenainya kerana insiden-insiden seperti serangan atau agresi terhadap pekerja, nozzle minyak tercabut dan ketidakpatuhan kepada Fuel Directive masih berlaku di stesen-stesen minyak.

    “Jadinya adalah penting bagi pihak BSM untuk terus mengadakan kempen seperti ini dengan harapan agar insiden-insiden seperti yang saya katakan tadi tidak akan berlaku lagi.”

    Seruan itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat dan Hari Service Champion yang berlangsung di Hotel J, Kiulap, hari ini.

    Beliau menyatakan bahawa ukuran kejayaan kempen Isi Selamat, Rasa Selamat bukan hanya terletak di bahu pihak BSM sahaja tetapi ia juga memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuk pihak pengurusan stesen, Service Champion sebagai barisan hadapan serta juga orang ramai.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyampaikan ucapan pada majlis tersebut yang turut dihadiri Pengarah Urusan BSM. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Penglibatan semua, tegasnya, adalah penting untuk memastikan prestasi keselamatan di stesen-stesen minyak adalah sejajar untuk menuju matlamat sifar tanpa insiden, Goal Zero.

    Seterusnya, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary berkata matlamat berkenaan juga bertepatan dengan Pelan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di mana dua daripada tiga pemacu nilai yang dititikberatkan ialah memastikan keselamatan orang ramai terjamin serta memastikan kesejahteraan dan penyediaan perkhidmatan yang cekap, bersih dan efisien.

    Di samping itu, pihak BSM telah membuat pengawasan dan kawal selia ke atas kenderaan pengangkutan minyak bagi memastikan pengangkutan minyak ke stesen-stesen minyak mematuhi garis pandu serta piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.

    “Kenderaan-kenderaan ini dipandu oleh pemandu-pemandu yang terlatih, bukan sahaja dalam mengendalikan kenderaan tersebut tetapi juga dilatih dalam tindak balas kecemasan awal.”

    Kenderaan-kenderaan berkenaan, jelasnya lagi, dipasang dengan peralatan In-Vehicel Monitoring System (IVMS) yang memantau keberadaan, kelajuan dan tingkah laku pemanduan kenderaan serta juga kamera pemantauan keletihan pemandu.

    “Semua ini merupakan antara usaha untuk menjamin keselamatan pengangkutan minyak,” tegasnya.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyarankan supaya pengawasan atas kenderaan yang mengisi minyak melalui dram-dram juga akan dapat diberikan perhatian lanjut.

    Beliau juga menyarankan supaya memastikan garis pandu yang telah ditetapkan seperti had penjualan dua dram dapat dipatuhi oleh pengguna dan juga pengusaha stesen minyak dalam menjaga keselamatan bersama.

    Dalam hal itu, pengawalan ke atas kenderaan yang membawa muatan lebih daripada dua dram juga perlu diamati oleh pihak-pihak yang berwajib kerana tatacara pengangkutan minyak tanpa langkah-langkah keselamatan, seperti yang dikongsi merupakan kegiatan berisiko keselamatan yang tinggi.

    “Antara perkara yang pada masa ini ditunduki oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Pengangkutan Darat adalah untuk memperkenalkan keperluan IVMS atau In-vehicle Monitoring System, secara berperingkat-peringkat, khususnya bagi kenderaan-kenderaan yang membawa muatan berisiko tinggi,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...