Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Brunei Shell Marketing Company Sdn Bhd (BSM) mengumumkan kejayaan pusingan pertama kempen Rewards With Shell yang diadakan bersempena dengan Jerayawara Shell Experiential di Pesta Pengguna ke-31 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BSM, di sini, kempen berkenaan diadakan untuk memberi ganjaran kepada para pelanggan yang membeli pelincir Shell tulen, dengan penyampaian hadiah secara langsung di jerayawara berkenaan.
Hadiah utama berupa pakej pelancongan untuk dua orang ke Kuala Lumpur dan telah dimenangi oleh Muhammad Aimi Safwan yang merupakan antara lima finalis yang telah disenarai pendek.
Kesemua finalis lain membawa pulang hadiah-hadiah menarik termasuk pakej penyelenggaraan kenderaan bernilai sehingga $1,000, set perkakas dapur premium, konsol permainan dan baucar membeli-belah berjumlah $500.
Hadiah disampaikan oleh Pengurus Pemasaran dan Jualan BSM, Haji Hairyl Shahri dalam majlis yang meraikan penghargaan Shell bagi kepercayaan dan kesetiaan pelanggan dalam pelincir Shell.
Kempen berkenaan diteruskan dengan dua lagi pusingan cabutan hadiah yang dijadualkan pada September dan November nanti. Pelanggan digalakkan untuk menyertai dengan membeli pelincir Shell terpilih dari Stesen Retail Shell, bengkel atau pengedar kereta yang diiktiraf.


Gambar ramai bersama finalis lain yang memenangi hadiah semasa kempen berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BSM

