Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) telah menandatangani perjanjian komersil dengan DXC Technology (DXC) dalam usahanya menambahbaikkan End User Computing (EUC) ke arah strategi Fit for Future.
Majlis penandatanganan berkenaan telah diadakan hari ini di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, dengan disaksikan oleh Pengarah Urusan BSP, Dr Ceri M. Powell.
Juga hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Perindustrian) di Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Pada majlis itu, menandatangani perjanjian bagi pihak BSP ialah Pengurus
Negara IT, Haji Malai Hussain bin Haji Syed Ahmad Hussin dengan Pengarah Komersil BSP, Dayang Farida binti Dato Talib sebagai saksi, manakala itu, DXC diwakili oleh Pengarah Urusan Singapore DXC, Ng See Sing dengan saksi, Pengarah Urusan ASEAN DXC, Yves Cramazou.
BSP dalam kenyataannya menjelaskan, kerjasama itu akan memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki DXC bagi mewujudkan operasi-operasi perkhidmatan EUC tempatan yang fleksibel yang akan memperbaiki lagi kesalinghubungan BSP.

Ini adalah sejajar dengan strategi IT BSP bagi mencipta peluang pekerjaan secara langsung dalam industri IT di negara ini dan menyelaraskannya dengan standard terbaik antarabangsa yang diperlukan oleh BSP.
Dengan kolaborasi ini, tambah kenyataan, pastinya akan berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan sehingga 50 orang tenaga pakar IT tempatan sepanjang tempoh kontrak berkenaan.
Dr Ceri M. Powell mengulas, penandatanganan berkenaan dilihatnya sebagai salah satu peristiwa penting bagi Negara Brunei Darussalam dan BSP terutamanya dalam merangsang kemahiran para profesional IT tempatan.
Melaluinya mereka berha-rap dapat memperkenalkan generasi baharu yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang IT yang berkeupayaan dan dapat menggunakan segala inovasi terbaharu menuju ke arah memperbaiki cara kerja.
Sementara itu, Dayang Farida dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa penandatanganan berkenaan membuktikan komitmen BSP dalam menyumbang ke arah pertumbuhan dinamik Brunei, pempelbagaian ekonomi dan kemapanan progresif terutamanya dalam pasaran yang sebelumnya masih belum diterokai.
Beliau kemudiannya memberitahu, pemacu dan pelaburan mereka dalam membangun keupayaan digital di BSP selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini, bagi memanfaatkan teknologi sebagai sebahagian daripada pembangunan kapasiti mereka agar dapat memainkan peranan aktif dalam memacu revolusi perindustrian keempat.