Oleh Salawati Haji Yahya
BELAIT, 12 DIS – Kakitangan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd telah menyampaikan sumbangan keseluruhan berjumlah $30,000, hari ini, kepada 10 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di No 383, Lorong 3, Seria baru-baru ini.
Sumbangan yang diberikan bagi setiap keluarga berjumlah $3,000 itu diharapkan dapat meringankan beban kewangan yang mereka tanggung.
Hadir mewakili BSP bagi menyampaikan sumbangan yang berlangsung di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) ialah Pengurus Komunikasi & Hal Ehwal Luar BSP, Suriani Garip.
Turut hadir ialah Ketua Kampung Lorong 3, Haji Saidin bin Haji Ibrahim; sukarelawan dari Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Haji Muhd Salleh bin Haji Osman; dan Kumpulan Pelaburan Sosial BSP.
Pada masa ini, 46 orang ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah itu telah dipindahkan sementara ke Dewan Bandaran Seria.


