Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 27 April – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah melancarkan edisi baharu buku Seashore Life pada majlis yang berlangsung di Teater Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran buku terbitan tahun 2009 yang dicetak semula untuk dikemas kini itu ialah Pengarah Urusan BSP, Dr Ceri M. Powell.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan syarikat tersebut dan wakil dari sekolah-sekolah di Daerah Belait.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Panaga Natural History Society (PNHS) Steve Brown memberitahu bahawa buku berkenaan mengandungi lapan siri yang dihasilkan oleh PNHS dan meliputi pelbagai topik kehidupan pantai iaitu persekitaran fizikal, tumbuhan tepi pantai, kerang, pengumpulan pantai, kehidupan laut, pantai, burung pesisir serta manusia.

Majlis turut menyaksikan penyerahan buku-buku kepada wakil-wakil sekolah Daerah Belait yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, dengan harapan buku-buku tersebut akan dapat dijadikan rujukan tentang flora dan fauna yang unik terdapat di daerah ini.
Buku-buku berkenaan dikumpulkan sebagai sebahagian daripada sokongan BSP secara lebih meluas dalam pemeliharaan alam sekitar bagi menggalakkan orang ramai keluar seterusnya menerokai dan menikmati keindahan pantai selain mengetahui lebih banyak tentang organisme hidupan laut, pantai, udara dan sebagainya.
Sebagai penyokong utama usaha Brunei Darussalam untuk menggalakkan kemapanan alam sekitar, BSP akan terus menganjurkan pelbagai inisiatif untuk mempromosikan lagi pemuliharaan alam sekitar dan meningkatkan kesedaran alam sekitar di negara ini, terutamanya kepada generasi muda.