BSP, Taiyo rai jalinan kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Taiyo Oil Co. Ltd meraikan kerjasama perniagaan selama 52 tahun dengan majlis sambutan yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

Majlis dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya; Pengarah Urusan BSP, Dr Ceri Powell serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Taiyo Oil, Yutaka Oka.

Turut hadir ialah Pengarah Komersial BSP, Dayang Farida binti Dato Talib serta Naib Presiden Kanan, Koichiro Sakamoto dan Pengurus Besar Perdagangan dan Penghantaran Antarabangsa Taiyo Oil, Yasuhiro Funaki.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BSP, dalam tempoh setengah abad ini, BSP telah membekalkan minyak mentah Brunei kepada Taiyo Oil, salah satu syarikat penapis hiliran paling terkemuka di Jepun.

Pada majlis itu, Dr. Ceri Powell dan Yutaka Oka bertukar-tukar cenderamata untuk memperingati peristiwa penting yang istimewa berkenaan.

Kenyataan menyatakan, majlis mengetengahkan Taiyo Oil sebagai salah satu pelanggan paling lama BSP dan rakan penting Brunei Darussalam dengan perhubungan yang melangkaui perdagangan minyak.

Kedua-dua syarikat mengiktiraf kerjasama berpanjangan antara mereka selama 50 tahun ini dan komited untuk terus mengekalkan hubungan kerjasama dan perkongsian yang kukuh pada masa hadapan.

Haji Azhar ketika menyaksikan Dr Ceri Powell dan Yutaka Oka bertukar cenderamata 50 tahun kerjasama antara BSP dan Taiyo Oil.
Haji Azhar ketika sesi bergambar ramai selepas acara tersebut. – Gambar-gambar serahan BSP