Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI- Penyahtauliahan dan pemulihan (decommissioning and restoration, D&R) adalah mengenai menuntut semula sumber, menggiatkan semula ekosistem dan memacu pertumbuhan ekonomi di mana dalam masa beberapa dekad mendatang, suatu perancangan untuk mengalih keluar lebih daripada 30 platform serta lebih 70 saluran paip di antara 2025 dan 2029 akan dilaksanakan.
Usaha berkenaan akan diterajui oleh Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) dengan menekankan amalan mampan yang akan memberikan manfaat kepada alam sekitar serta ekonomi.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib dalam ucapannya di Pelancaran Bengkel SPE: Decommissiong and Restoration-Fostering Excellence Through Regulations, Innovation and Sustainable Practice yang berlangsung di The Empire Brunei hari ini.
Beliau menyatakan lagi bahawa sebuah inisiatif utama adalah penubuhan kawasan penyahtauliahan yang canggih di Brunei yang mana ia akan mempromosikan amalan industri mampan, menghasilkan pendapatan tambahan, menjana pekerjaan dan mengurangkan sisa perindustrian.
Seterusnya, Hajah Farida berkata bahawa amat penting kepada kejayaan hasrat itu untuk memupuk ekosistem kolaboratif di mana kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, pemimpin industri dan institusi penyelidikan serta persatuan seperti SPE, ASCOPE dan IOGP, dapat memastikan penambahbaikan dan pertukaran ilmu pengetahuan berterusan.
Beliau menambah bahawa kerjasama berkenaan akan membangunkan kepakaran, melaksanakan program latihan efektif dan mewujudkan piawaian pensijilan teguh yang menegakkan integriti amalan penyahtauliahan.
“Komitmen kami terhadap kerjasama melangkaui sempadan kami. Perkongsian antarabangsa dan pembelajaran daripada pengalaman negara-ngera lain adalah penting untuk kekal di barisan hadapan industri D&R,” ujarnya.
Memandang ke hadapan, Hajah Farida berkata bahawa langkah mengintegrasi teknologi baharu akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan dan perlindungan alam sekitar dalam proses D&R yang akan dilaksanakan.
Dalam hubungan itu, bengkel berkenaan akan membantu wakil-wakil daripada pelbagai jabatan kerajaan dan pemimpin industri untuk menyumbang kepada pembentukan dasar, strategi dan inovasi nilai tambah yang akan menyokong peralihan Negara Brunei Darussalam ke arah sebuah ekonomi hijau.
