Kumpulan super K-Pop, BTS, bakal menamatkan latihan wajib perkhidmatan tentera Korea Selatan tidak lama lagi.
Ini saat paling dinantikan peminat setia mereka, ARMY kerana RM dan V dijangka tamat pada 10 Jun, diikuti Jungkook dan Jimin pada 11 Jun, manakala Suga dijadual tamat perkhidmatan pada 21 Jun ini, menurut laporan Harian Metro.
Terdahulu, Jin dan J-Hope sudah menamatkan perkhidmatan tentera mereka tahun lalu.
Perkembangan ini bukan sahaja mencetuskan keterujaan dalam industri K-pop, malah turut memberi kesan kepada pasaran muzik global.
Peminat dan pemerhati industri kini menantikan pengumuman rasmi mengenai kembalinya BTS dengan aktiviti berkumpulan sepenuhnya, termasuk hala tuju muzik dan mesej baharu yang bakal dibawa kumpulan itu.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, kumpulan K-pop pemenang Anugerah Muzik Amerika (AMA) selama lima tahun berturut-turut itu, tetap berusaha mengekalkan hubungan dengan peminat melalui pelancaran lagu solo yang dirakam lebih awal.
Antaranya, single Jimin berjudul Who yang dilancarkan semasa beliau dalam perkhidmatan berjaya kekal dalam carta Billboard Hot 100 selama 33 minggu dan ia satu rekod baharu untuk artis K-pop.
Lagu LOST! dinyanyikan RM pula menerima pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi beberapa anugerah termasuk di Shark Music Video Awards dan Sislope Festival.
Syarikat pengurusan mereka, HYBE, beberapa kali mengesahkan BTS akan menyambung aktiviti berkumpulan sebaik sahaja semua anggota selesai menjalani latihan ketenteraan dan persiapan untuk kemunculan semula mereka kini sedang giat dijalankan.
Untuk rekod, album berkumpulan terakhir BTS ialah Proof yang dilancarkan pada 2022, manakala konsert terakhir mereka ialah Yet to Come yang berlangsung di Busan pada Oktober tahun sama.
BTS turut mencipta impak global menerusi siri Love Yourself pada tahun 2017 hingga 2018 yang membawa mesej cinta terhadap diri sendiri yang masih relevan dan menyentuh hati jutaan peminat di seluruh dunia hingga hari ini. – Agensi
