SEOUL, 31 OKT – Bertangisan dan menjerit sekuatnya, berpuluh-puluh ribu peminat BTS berhimpun di Seoul bagi konsert jelajah final dunia lumayan kumpulan remaja lelaki itu, dengan sebahagiannya datang dari jauh untuk menyaksikan konsert idola mereka sekali gus membuatkan keluarga atau diri mereka sendiri mengeluarkan belanja besar.
Kegemilangan global bagi tujuh orang anggota kumpulan itu memuncak tahun ini, menjadi kumpulan K-pop pertama mengungguli carta di AS dan Britain serta membuat persembahan yang laris jualan tiketnya di Los Angeles, Paris dan stadium Wembley, London. Ahli kumpulan muzik yang berambut pendek semuanya dalam usia 20an dan sering mengenakan anting-anting dan lipstik, menarik satu generasi yang selesa dengan suatu kecelaruan gender.
Mereka rapat dengan peminat yang sebahagian besarnya wanita—dikenali sebagai ARMY—dengan berkongsi kisah perjuangan mereka dalam arena muzik dan media sosial yang sering dibanjiri swafoto dan mesej peribadi.
“Saya sangat sukakan mereka dan mereka adalah antara orang yang penting dalam hidup saya,” kata Milena Marunova, 20, yang datang dari Rusia ke Seoul untuk konsert kumpulan itu minggu ini, suaranya bergetar dalam keseronokan.
Pembabitan mendalam itu adalah kunci kepada tarikan berpanjangan BTS, menurut CedarBough Saeji, seorang pakar dalam bahasa dan budaya Asian di Universiti Bloomington, Indiana, berbeza dengan penyanyi lagu terkenal, Gangnam Style pada 2012, Psy. “Psy tidak mempunyai kelab peminat, dia hanya mempunyai sebuah lagi tular,” katanya. “Maka lagu selepasnya tidak menarik pendengar, mereka beralih arah. Namun BTS mempunyai ramai peminat setia.”
Populariti itu membolehkan ia menjana pendapatan lumayan bukan sahaja daripada persembahan, malahan produk dan aktiviti yang dibuat. Barangan jualan daripada pen, buku nota sehingga bantal dan selimut serta kolaborasi bersama pengilang Barbie, Mattel untuk patung BTS, meningkatkan jualan antarabangsa syarikat pembuat patung itu sebanyak 10 peratus. – AFP
