KUMPULAN berpengaruh Korea Selatan, BTS (gambar) terus melakar kejayaan apabila tersenarai dalam 30 yang berpe-ngaruh di bawah usia 30 tahun di Asia oleh Forbes untuk edisi tahun ini.
BTS disenaraikan bersama 29 nama lain bagi kategori selebriti yang menggunakan populariti untuk mengubah dunia.
Senarai berkenaan adalah pengiktirafan kepada bintang muda, berinovasi dan usahawan berwawasan yang berjaya membentuk industri diceburi serta berjaya membawa perubahan baik di rantau Asia.
BTS yang dianggotai tujuh ahli berusia bawah 26 tahun itu dipilih selepas kejayaan luar biasa menakluk dunia sejak kebelakangan ini.
Tahun lalu, mereka berjaya menembusi dan mencipta fenomena di Amerika Syarikat (AS).
Berita itu ternyata membuatkan BTS terharu memandangkan selama ini mereka sendiri mengakui sentiasa mengikuti senarai itu setiap tahun.
“Kami cuma pernah melihat senarai itu dalam surat khabar sebelum ini. Ia satu penghormatan yang sangat besar apabila kini menjadi sebahagian daripada senarai itu.
“Sebenarnya terlalu ramai yang membantu kami untuk mencapai ke tahap ini. Kami berharap kehadiran BTS dapat menghiburkan dan mengubat hati ramai orang di seluruh dunia,” kata mereka.
Senarai itu menyaksikan 300 penyertaan iaitu 30 nama untuk setiap senarai dalam 10 kategori. Senarai berkenaan dipendekkan daripada lebih 2,000 pencalonan dibuat sebelum dinilai panel juri.
Bagi kategori hiburan dan sukan, bekas anggota EXO iaitu Kris Wu antara yang mengadili kategori berkenaan.
Tahun lalu, BTS berjaya mencipta sejarah dan diiktiraf dalam Guiness Book of Records selepas mendapat trafik tertinggi di Twitter.
Secara puratanya, setiap tweet yang dibuat akaun berkaitan kumpulan itu mendapat lebih 252,200 retweet.
Populariti kumpulan itu juga nampaknya tidak tergugat langsung bahkan berjaya meraih ramai pengikut pada tahun ini di media sosial.
Selain BTS, dua lagi selebriti berpengaruh negara itu yang turut tersenarai adalah pemain sukan luncur, You Young dan atlet berpengaruh, Sung Bin Young.