Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Dalam usaha memperkasa usahawan belia negara, Bank Usahawan Berhad (BU) terus memainkan peranan penting dengan menyediakan pembiayaan mudah akses serta latihan sokongan bertujuan mengembangkan perniagaan dan menyumbang kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohammad ketika menjawab pertanyaan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim semasa sesi Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato, BU merupakan institusi kewangan patuh syariah dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memainkan peranan signifikan dalam ekosistem kewangan negara, khususnya dalam membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, termasuk usahawan muda berumur antara 18 hingga 35 tahun.
“BU terus komited menyokong perniagaan baharu dengan menangani kekangan utama seperti kesukaran mendapatkan pembiayaan, kekurangan cagaran dan ketiadaan rekod perniagaan,” ujar beliau.
Sebagai usaha menangani cabaran dihadapi, BU telah memperkenalkan Skim Pembiayaan BOOST pada Mei 2024, khusus untuk usahawan belia peringkat mikro. Skim ini tidak memerlukan cagaran, hanya penjamin dan menawarkan pembiayaan sehingga $5,000.


Melalui inisiatif ini, usahawan belia dapat memulakan perniagaan tanpa beban hutang berlebihan, justeru mencapai pertumbuhan lebih mampan.
Sehingga Jun 2025, BU telah menyalurkan pembiayaan kepada hampir 500 pengusaha tempatan, dengan jumlah keseluruhan pembiayaan melebihi $40 juta.
Lebih membanggakan, lebih 40 peratus daripada pelanggan BU terdiri daripada usahawan belia, yang turut menerima lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan tersebut.
Selain menyediakan pembiayaan, BU juga giat menjalankan pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti untuk usahawan belia.
Antara yang diketengahkan ialah Khidmat Nasihat Celik Kewangan, meliputi penyediaan belanjawan, pengurusan hutang, simpanan dan aliran tunai, Latihan Kemahiran Perakaunan dan Pengurusan Perniagaan, dilaksanakan bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan rakan strategik lain, di samping kerjasama strategik bersama institusi pendidikan seperti UNISSA, IBTE dan Politeknik Brunei, bagi melengkapkan ilmu keusahawanan melalui latihan kewangan praktikal serta akses kepada pembiayaan.
“Insya Allah, melalui pendekatan bersepadu atau Whole of Nation Approach, BU akan terus membantu melahirkan generasi usahawan belia yang yakin diri, celik kewangan, berdaya saing, mudah menyesuaikan diri dan tahan cabaran,” ujar Yang Berhormat Dato.

