SUDAH tentu lidah kita sudah terbiasa dengan rasa yang kaya dan pelbagai daripada jenis juadah dan makanan yang boleh didapati di seluruh pelosok daerah atau negara.
Namun, tahukah anda? Bukan rasa hati saja yang selalu tertipu dan ditipu oleh cinta, tetapi rasa di lidah juga boleh tertipu dengan kehadiran beberapa kompaun alami yang istimewa.
Terdapat beberapa jenis daun dan buah yang mampu mengubah deria rasa di lidah, dari manis kepada masam. Lidah kita mempunyai protein yang terdiri dari reseptor-reseptor rasa yang bertaburan di seluruh lidah untuk mengesan rasa manis, masam, masin, pahit dan umami. Terdapat juga deria rasa yang dapat mengesan persepsi pedas (cili) dan sejuk (seperti menthol).
Sensasi masin dan masam contohnya dikesan melalui perubahan polarisasi reseptor melalui laluan ion (ion channel) dan rasa pahit, manis dan umami dikesan oleh signal berlandaskan reseptor bergandingan protein G (G-coupled receptor). Terdapat beberapa tumbuhan yang dikatakan dapat mengubah sensasi rasa ini:
Buah atau Beri Ajaib (Miracle fruit atau berry)
Buah ajaib dari pokok Synsepalum dulcificum yang berasal dari Afrika Barat ini dapat menukarkan makanan masam yang kita makan berasa manis. Buah ajaib ini mengandungi sejenis glikoprotein yang digelar miraculin. Miraculin tidak mempunyai rasa manis. Namun, apabila anda mengunyah buah ajaib ini, glikoprotein miraculin darinya akan menambat pada reseptor rasa manis. Keadaan ini akan ‘menutup’ rasa manis dari dikesan oleh reseptor. Jadi, jika anda memasukkan gula sekilo pun ke dalam mulut, tiada rasa manis dapat dikesan.


Jika anda mengambil makanan berasid, ia akan menyebabkan perubahan bentuk pada miraculin. Ini juga menyebabkan reseptor manis yang melekat pada miraculin tadi diaktifkan. Jadi, cuka yang sangat masam pun akan terasa sangat manis. Kesan perubahan ini boleh bertahan selama 30-60 minit.
Lumbah (Curculigo latifolia/ Molineria latifolia)
Pokok ini berasal dari Malaysia (dan terdapat di negara sekitar seperti Vietnam dan Thailand). Buah dari pokok lumbah ini mengandungi protein curculin (atau disebut juga neoculin). Ia juga mampu mangubah rasa masam kepada manis seperti miraculin yang terdapat dalam buah ajaib.
Namun, konformasi protein curculin pada lumbah adalah istimewa dan sangat berlainan dari miraculin. Curculin mempunyai rasa manis. Ia mampu mengaktifkan reseptor manis, lebih 400 kali ganda dari gula sukrosa (gula putih biasa).
Yerba Santa (Eriodictyon californicum)
Pokok Yerba Santa yang biasa terdapat di California dan Oregon, Amerika Syarikat ini mengandungi kompaun-kompaun flavonones seperti sterubin, homoeriodictyol dan eriodictyol.
Kompaun flavonones ini mempunyai kebolehan untuk ‘menghilangkan’ rasa pahit dalam mulut jika anda memakan makanan yang memberikan rasa pahit. Ia dikatakan dapat menghilangkan 40 peratus rasa pahit paracetamol dan quinine. Lidah boleh sahaja menipu orang, namun ia juga boleh menipu diri sendiri.