KOTA BELUD, 2 April – Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan buah fikiran para ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) tentang perkembangan dan pembangunan di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Dalam usaha merancakkan pembangunan di Malaysia, beliau berkata kajian terperinci dan perancangan menyeluruh perlu dibuat dengan mengambil kira kepentingan masyarakat dalam negeri dan juga negara.
“Oleh itu saya yakin program MPN Bersama Masyarakat Sabah pada hari ini, mampu menjadi jambatan berkesan di antara masyarakat, kerajaan dan juga para ilmuwan MPN bagi tujuan membina pembangunan lestari yang mesra masyarakat dan mesra alam.
“Dengan adanya program sebegini di negeri Sabah, saya mengharapkan pihak MPN dapat membudayakan perkongsian ilmu antara para ilmuwan dengan masyarakat serta agensi-agensi berkenaan.
“Ini membuktikan bahawa para profesor di Malaysia senantiasa berusaha untuk memberi sumbangan yang sewajarnya kepada semua pihak yang memerlukannya,” katanya pada majlis penutupan program itu, hari ini. Teks ucapan Musa dibacakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Program itu dilaksanakan sejak 27 Mac lepas di Semporna dan antara acara yang dilaksanakan adalah pemeriksaan kesihatan oleh profesor dan pakar perubatan, pameran dan ceramah kerjaya dan motivasi, dan tinjauan mengenai cabaran serta keperluan masyarakat di Sabah.
Mengulas lanjut, Musa berharap program itu akan meningkatkan lagi keterlibatan masyarakat melalui program-program berimpak tinggi menjurus kepada transformasi pelancongan, pendidikan, sosial dan ekonomi.
“Dengan adanya program seperti ini, saya yakin banyak manfaat yang diperolehi oleh kerajaan negeri dan juga masyarakat Sabah. Kita yakin hasil daripada tinjauan serta aktiviti yang diadakan telah memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan serta ahli-ahli akademik yang terlibat,” katanya. – Bernama