Oleh Nurdiyanah R. –
Rahsia sumber alam semula jadi ciptaan Yang Maha Esa pastinya tersirat khasiat yang tidak terhingga jika kita menerokai dengan sebaik-baiknya.
Terdapat sumber alam yang merangkumi pokok, bunga, daun serta buahnya sememangnya kaya dengan nutrien sehingga mampu mengubati pelbagai jenis penyakit.
Tidak hairanlah orang tua dulu-dulu sering mengamalkan perubatan tradisional untuk mengubati segala penyakit dalam menempuhi kehidupan harian mereka. Amalan berubat dengan sumber tumbuh-tumbuhan pastinya sesuatu yang diamalkan oleh nenek moyang kita sejak dahulu kala kemudian diperturunkan sama ada secara lisan atau bertulis melalui amalan dan kepercayaan dalam lingkungan masyarakat.
Khasiat buah pinang jangan dilupa
Mungkin masyarakat moden kini semakin hari semakin kurang mahu pun tidak mengetahui akan khasiat yang terkandung dalam buah pinang yang pada zaman dahulunya sering dijadikan salah satu bahan asas dalam perubatan tradisional. Apa kata penulis membawa pembaca untuk mengimbau kembali keindahan perubatan tradisi orang dulu-dulu dengan buah pinang.
Buah pinang atau nama saintifiknya Areca Catechu bukan sahaja merupakan pelengkap ramuan memakan sirih, namun biji dan buah pokok tumbuhan tropika ini turut mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri. Tiada yang mengetahui dari mana asal usul tanaman pinang ini bahkan ada yang mengatakan ia berasal dari Semenanjung Tanah Melayu dan ada pula yang menyebut ia berasal dari Filipina dan juga Hindia Timur.
Pokok pinang boleh mencapai ketinggian antara 10 hingga 30 meter dan meruncing di bahagian pucuk. Di bahagian jemala (crown), pokok ini berbentuk bulat dan berwarna hijau semasa muda dan apabila masak ia menjadi kuning dan merah. Manakala biji pinang berbentuk seperti telur.
Buah pinang dikatakan mengandungi kuantiti besar tannin iaitu lebih kurang 15 peratus tannin merah dan 14 peratus lemak. Selain itu, ia juga memiliki kandungan asid gallic, lignin, minyak meruap dan pelbagai bahan saline dan alkaloid seperti arekolin. Arekolin adalah penghapus parasit dan cacing.
Rawatan gusi
Apabila kita hendak memakan buah pinang, kulitnya perlu dibuang terlebih dahulu, kemudian biji pinang dipotong kecil dan dimasukkan ke dalam daun sirih dan dikunyah.
Kunyahan sirih bercampur pinang berkenaan akan menyebabkan bibir dan gigi menjadi merah.
Semasa pertemuan penulis bersama seorang warga emas yang pada ketika itu sedang membeli buah pinang di Kompleks Pasarneka dan Tamu, Daerah Tutong, baru-baru ini, beliau yang lebih senang disapa dengan Nini Hajah Tiyas berkongsi bahawa memakan buah pinang ini sememangnya sudah menjadi rutin hidangan ringan hariannya ketika duduk-duduk berehat sejak usia 30an lagi.
Apabila ditanya mengenai kelebihan memakan buah pinang yang diamalkan itu, beliau menyatakan ia sebagai satu petua untuk menguatkan gusi.
“Sehingga kini, dengan izin Allah SWT juga, saya tidak pernah sakit gusi atau pun sakit pada bahagian gigi. Ada juga pernah saya mendengar bahawa mengunyah buah pinang ini juga dapat menghilangkan masalah mulut berbau,” ujarnya dengan senyuman riang.
Sapuan pinang untuk sakit kulit
Nini Hajah Tiyas turut berkongsi lanjut, biji pinang separuh masak pula mampu digunakan untuk merawat kulit seperti panau dan kayap. Caranya dengan menumbuk buah pinang muda sehingga halus kemudiannya disapu pada bahagian yang ditumbuhi panau dan juga kayap.
“Kalau dulu-dulu, perindungan kami selalu memberikan air rendaman pinang yang dijadikan seperti jus ketika mereka demam atau cirit birit.
“Bukan itu sahaja, pada zaman dahulu tidak ada pencuci muka khas yang banyak berjual seperti di kedai-kedai pada masa ini, saya juga pernah mengamalkan pembersihan muka dengan cara buah pinang yang telah dihancurkan dan ditumbuk digosok pada kulit muka bagi menghilangkan tompok-tompok hitam dan jeragat,” ujarnya lagi.
Beliau yang kini berusia 72 tahun itu, menambah pinang muda yang ditumbuk halus yang telah dicampurkan dengan abu atau arang daripada punting kayu dikatakan boleh dijadikan bedak sapu untuk mengubati perut kembung atau senak.
Tapi berpada-pada jangan berlebihan
Namun begitu, Nini Hajah Tiyas turut mengingatkan sungguhpun terdapat pelbagai kegunaan buah dan biji pinang, namun begitu hendaklah seseorang itu mengawal pengambilan buah pinang mereka.
“Ini kerana pengambilan kerap dengan cara mengunyah boleh memberi kemudaratan berikutan kesan toksik pada jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, zaman semakin moden, kita juga sepatutnya sentiasa mendapatkan nasihat daripada para pakar perubatan apabila mengalami sakit-sakit tertentu selain mengamalkan perubatan alternatif secara tradisi,” tekannya dengan penuh ketulusan.
Kini khasiat sumber alam ini telah dibuat kajian dan digunakan pula dalam bidang perubatan moden dan tidak kurang juga terdapat pengusaha herba tradisional yang telah berjaya dikomersialkan bukan hanya secara jualan domestik bahkan juga sehingga di peringkat antarabangsa.
Dengan adanya pelbagai khasiat dan kegunaan tumbuh-tumbuhan alami khususnya bagi perubatan alternatif jelasnya membuktikan bahawa segala ciptaan Allah SWT itu tiada yang sia-sia dan pastinya memiliki hikmah keistimewaan di sebaliknya antaranya sebagai usaha untuk penyembuhan penyakit. Oleh itu, sebagai masyarakat yang semakin menjejaki peredaran zaman silih berganti ini, begitu penting bagi kita untuk menghargai sumber alami dengan menjaga serta mempertahankan warisan nenek moyang terdahulu agar ia tidak pupus ditelan zaman.