WASHINGTON, 27 OGOS – Setiap tahun, Amerika Syarikat (AS) menolak ribuan buah pinggang daripada penderma berusia yang telah meninggal dunia, majoritinya akan digunakan di Perancis, menurut kajian diterbitkan semalam, menyifatkan organ itu merupakan sumber disia-siakan, yang boleh menyelamatkan nyawa.
Analisis itu, diterbitkan dalam JAMA Internal Medicine, mendapati, pusat transplan Perancis akan menjalankan pemindahan lebih 60 peratus atau kira-kira 17,500 buah pinggang daripada hampir 28,000 buah pinggang penderma sudah meninggal dunia yang dibuang di AS antara 2004 dan 2014.
Lima ribu rakyat AS meninggal dunia setiap tahun ketika menunggu pemindahan dan ada kira-kira 90,000 dalam senarai menunggu.
Purata usia penderma juga mengejutkan, 39 di AS berbanding 56 di Perancis.
“Ada perbezaan hampir 20 tahun usia, ia amat besar,” kata penulis utama kajian, Alexandre Loupy kepada AFP. Perancis menangani kekurangan penderma buah pinggangnya dengan menaikkan had umur penderma yang berusia.
Walaupun ada risiko lebih tinggi kegagalan daripada penderma berusia, Perancis mendapati, pesakit yang menerima organ itu hidup lebih lama dengan kualiti tinggi kehidupan berbanding mereka yang kekal menjalani dialisis, kata Loupy.
Berbeza dengan AS yang amat berhati-hati, sebaliknya membuang kira-kira 18 peratus daripada hampir 160,000 buah pinggang penderma sudah mati dalam tempoh itu, kira-kira dua kali ganda lebih tinggi kadar di Perancis.
Menurut Loupy, kekangan kewangan dan petunjuk prestasi menghalang pakar bedah AS daripada menjalankan pemindahan yang dianggap berisiko tinggi. – AFP
