Buah pir berduri bantu ekonomi warga Yaman

SANAA – Pada ketika ini, ia merupakan masa yang sesuai bagi menuai buah pir berduri (prickly pear) di Yaman yang dilanda perang dan pasar di Sanaa penuh dengan orang ramai walaupun sedang berdepan wabak COVID-19.

Dengan sinar matahari pagi, ratusan petani, penduduk kampung dan peniaga jalanan pergi ke bukit-bukit gersang di pinggir tenggara ibu kota Sanaa untuk memungut buah pir berduri. Ia sedap, sihat, murah dan antara buah-buahan terlaris di pasaran tempatan.

Banyak petani Yaman telah beralih untuk menanam tanaman gurun berduri seperti ini di ladang mereka setelah perang saudara meletus lima tahun yang lalu.

Perang yang panjang di Yaman dan sekatan ekonomi telah menyebabkan kekurangan bahan bakar yang berterusan menyebabkan pam pengairan berhenti dan menjadikan ribuan hektar yang subur menjadi tanah tandus.

“Penanaman buah ini menguntungkan dan menghasilkan pendapatan yang baik kerana tumbuh dengan cepat dan tidak memerlukan banyak pengairan,” kata Ahmed Mutahar kepada media di hadapan ladangnya di daerah Ghaiman di daerah Khawlan, kira-kira 30km di sebelah tenggara ibu kota Sanaa.

Seorang penjual menyediakan buah pir berduri di kereta sorongnya untuk dijual di jalanan. – Xinhua
Gambar bertarikh 21 Julai 2020 menujukkan seorang peladang memetik buah pir berduri di pinggir bandar Sanaa, Yaman. – Xinhua

“Kebanyakan belia menggunakan buah bermusim ini untuk menjualnya di troli di jalanan untuk mencari nafkah bagi keluarga mereka,” tambah Mutahar.

Yaman telah terlibat dalam perang saudara sejak akhir tahun 2014, ketika kumpulan Huthi yang disokong Iran merebut sebahagian besar wilayah utara negara itu dan memaksa Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang disokong oleh Arab Saudi untuk melarikan diri dari ibu kota Sanaa.

Perang tersebut telah mengorbankan puluhan ribu orang, kebanyakannya orang awam, lebih dari tiga juta yang kehilangan tempat tinggal, dan menyebabkan ekonomi negara runtuh serta memusnahkan infrastruktur dan sektor pertanian.

“Yaman adalah krisis kelaparan terbesar di dunia. Berjuta-juta orang hidup di pinggir dalam kebuluran dan keadaan semakin buruk dari hari ke hari,” kata Program Makanan Dunia (WFP) dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Berjuta-juta keluarga berjuang untuk mendapatkan makanan dalam sehari, di tengah penurunan nilai mata wang negara yang cepat, menghentikan pembayaran gaji, dan sekatan ekonomi yang semakin ketat.

Keadaan semakin teruk dari hari ke hari, memaksa berjuta-juta warga Yaman mencari peluang pekerjaan setiap hari. Di ibu kota Sanaa, kebanyakan pemuda dan warga berusia mendorong kereta sorong penuh dengan buah pir berduri di sudut jalan dan pasar yang sesak.

“Pada musim buah pir berduri ini, kami mencari nafkah… orang datang dan membeli,” kata penjual jalanan Ali Salman kepada media. – Xinhua