Sunday, November 24, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bual bicara kongsi cabaran perkasa bahasa Melayu

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan telah mengungkayahkan Majlis Bual Bicara Bersama Duta Bahasa yang berlangsung di Pentas Utama Pesta Buku Brunei 2024, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

    Bual bicara tersebut merupakan sebagai salah satu platform yang akan memberikan ruang dan peluang kepada Duta Bahasa berkongsi pengalaman, pemikiran, cabaran dan gagasan dalam usaha mereka memartabat serta memperkasa bahasa Melayu di peringkat negara dan antarabangsa.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.

    Acara itu juga dilaksanakan bersempena Pesta Buku Brunei 2024 dan Bulan Bahasa 2024.

    Bual bicara berkenaan dilaksanakan dalam bentuk forum yang memfokuskan perbincangan mengenai Apakah kesenian dan penulisan boleh memartabatkan bahasa Melayu?

    Panel bual bicara terdiri daripada Duta Bahasa 2015, Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff; dan Duta Bahasa 2023, Profesor Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.

    Awang Mohd Zefri Ariff dan Profesor Ampuan Dr Haji Brahim selaku ahli panel semasa acara tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara yang hadir semasa acara berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Manakala moderator, Dr Mohamad Fathullah bin Haji Rashid pula merupakan penggiat sastera tanah air.

    Majlis juga turut diisikan dengan sesi membaca buku selama 10 minit dan kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Ketua Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, Dayang Ruhana binti Raden.

    Penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada panel dan moderator bual bicara disempurnakan oleh tetamu khas majlis.

    Dengan adanya pelaksanaan bual bicara tersebut akan memotivasi dan menarik perhatian masyarakat untuk sama-sama memberikan sumbangan serta berusaha mengembangluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam apa jua cara termasuk dalam bidang kesenian dan penulisan.

    Antara lain objektif bual bicara itu diadakan adalah untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang kewujudan, peranan dan tanggungjawab Duta Bahasa yang diangkat dan diiktiraf.

    Selain itu, ia juga sebagai wadah perbincangan dan perkongsian kepada umum terhadap usaha Duta Bahasa dalam memperkasa di samping mengembangkan penggunaan bahasa Melayu melalui pelbagai bidang dan kepakaran masing-masing.

    Selain itu, ia juga adalah untuk memperlihatkan kepada khalayak umum tentang peranan Duta Bahasa dalam menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu menerusi bidang kesenian dan penulisan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda