Sunday, June 16, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Bual Bicara Pantun serikan PPMB

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Pesta Pantun Melayu Brunei (PPMB) yang berlangsung selama dua hari telah melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutupan Pesta Pantun Melayu Brunei yang diadakan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis penutupan PPMB itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin.

    Salah satu pengisian utama dalam majlis penutupan berkenaan ialah Bual Bicara Pantun. Bual Bicara itu dilaksanakan dalam bentuk forum yang memfokuskan perbincangan mengenai perkembangan, penyelidikan dan masa depan pantun.

    Para panel yang terlibat terdiri daripada penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2021, Dr Haji Morsidi bin Haji Muhamad; calon penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2022, Pengiran Haji Shamsu bin Pengiran Haji Kadar; dan Penulis Muda, Dayangku Norsafiah binti Pengiran Sapudin bersama Pegawai Penyelidik Kanan, DBP, Dayang Noor Lenny binti Haji Mohamed Yusuf selaku moderator.

    Majlis juga turut diisikan dengan sesi baca buku selama 10 minit dan kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Ketua Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, DBP, Dayang Ruhana binti Radin yang juga selaku Setiausaha PPMB.

    Antara ahli panel Bual Bicara Pantun semasa perbincangan dalam majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Dayang Ruhana antaranya berkata pengungkayahan pesta berkenaan mampu mengerak aktifkan penglibatan semua lingkungan masyarakat dari pelbagai peringkat usia di negara ini di mana keberkesanan pesta ini dapat dilihat melalui penglibatan masyarakat sepanjang pesta berlangsung.

    Dalam pada itu, beliau turut menyentuh penyertaan generasi muda dalam kegiatan-kegiatan pesta pantun dengan mengimplikasikan bahawa pelaksanaan pesta itu mampu menjadi penggerak dan pencetus melahirkan generasi pelapis yang akan mendalami dan menguasai seni berpantun sekali gus mengukuhkan rasa kepemilikan mereka terhadap kepentingan bahasa Melayu.

    Dalam pada itu, majlis turut diselajurkan dengan acara penyampaian hadiah, cenderamata dan sijil kepada para pemenang, panel hakim, panel dan moderator Bual Bicara, pengerusi pantun dan peserta yang terlibat dalam kegiatan PPMB yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

    Adapun pelaksanaan pesta itu dipercayai mampu mencapai objektif pelaksanaannya dalam memelihara, melestarikan, memperkasa dan membarigakan pantun Melayu Brunei melalui pengisian pelbagai kegiatan serta persembahan berkaitan pantun dengan penyertaan dan dukungan daripada pelbagai sektor kerajaan, swasta dan orang awam.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; pengarah-pengarah di KKBS, serta jabatan-jabatan di bawahnya; rakan-rakan strategik; para pegawai kerajaan; persatuan; penggiat seni budaya; pemantun dan penulis tanah air; pensyarah; guru-guru; dan mahasiswa-mahasiswa serta pelajar-pelajar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India bawa pulang jasad 45 mangsa kebakaran di Kuwait

    KOCHI, 14 JUN - Ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran di sebuah bangunan di Kuwait kelihatan berduka di terminal lapangan terbang India hari...