Monday, January 6, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buang bahan binaan, syarikat dikompaun

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Sebuah syarikat telah dikenakan kompaun sebanyak $1,000 oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, 2021 (Penggal 30), Bab 12 (1), di bawah Bab 12 (1) (f) (ii) kerana didapati meninggalkan dan melonggokkan bahan binaan tanpa kebenaran di tempat awam.

    Syarikat terbabit diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun tersebut dan jika gagal menjelaskan pembayaran, syarikat berkenaan boleh didakwa ke mahkamah.

    Bagi mengingati orang awam bahawa denda kompaun di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, 2021 (Penggal 30), Bab 12 (1), bagi kesalahan individu, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang daripada $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Manakala badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama di bawah bab ini boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Dalam memastikan Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, 2021 (Penggal 30), Bab 12 (1) ini dilaksanakan, Unit Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait sentiasa menjalankan operasi pemantauan iaitu membuat rondaan di tempat-tempat awam dan kawasan larangan pembuangan sampah.

    Selain itu juga, pemantauan ke atas aktiviti-aktiviti bengkel, pengilangan, penternakan dan pembinaan agar mereka mematuhi peraturan yang ada.

    Operasi pemantauan harian ini adalah bertujuan bagi memastikan kebersihan persekitaran agar lebih terjaga dan mana-mana individu atau syarikat yang melakukan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang telah disediakan.

    Bahan binaan didapati ditinggalkan dan dilonggokkan di tempat awam. – Gambar serahan Jab. Daerah Belait

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda