Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Kompaun berjumlah $4,100 telah dikenakan terhadap lima individu dan enam buah syarikat atas kesalahan di bawah Bab 12 Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021 Penggal 30 kerana membuang sampah di tempat awam dan laluan awam.
Dapatan itu adalah hasil tindakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) dari tempoh Februari hingga bulan ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan JBBSB, kelmarin.
Individu-individu dan syarikat yang diambil tindakan itu adalah New Star Sdn Bhd, Dipe Sdn Bhd, Morsal Enterprise, Haider Sdn Bhd, Sin Kew Hin Department Store, Airetech Contractor, Muhammad Bandarawi bin Ramlee, Haji Kamaruljaman bin Haji Samli, Lim Kok Choon @ Abdul Halim bin Abdullah, Haji Hasmiewandi bin Haji Hassan, dan Chandranath Dash.
Mereka dikehendaki menjelaskan kompaun di Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Bangunan JBBSB, Jalan Perdana Menteri dalam tempoh masa tujuh hari.
JBBSB dalam kenyataan yang dikeluarkan mengingatkan mana-mana individu dan pemilik atau penyewa bangunan untuk sama-sama menjaga aspek keindahan, kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan Bandar Seri Begawan.
