Thursday, January 16, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buang sampah merata, sebuah syarikat kena kompaun

    Oleh Nour Maghfirah

    TUTONG, 16 JAN – Sebuah syarikat di Kampung Panchor Papan, Daerah Tutong telah dikenakan kompaun sebanyak $2,000 oleh Unit Penguatkuasaan, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021, Penggal 30 di tempat awam, kelmarin.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, kesalahan tersebut dikesan semasa menjalankan Operasi Bersepadu bersama Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan syarikat tersebut dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.

    Jika gagal membayar denda tersebut dalam masa tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan maka syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $2,000 dan tidak melebihi $10,000; dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan itu, Unit Penguatkuasaan, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong ingin mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis-premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan, menumpahkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.

    Longgokan sampah yang dibuang di tempat awam oleh salah sebuah syarikat di Kampung Panchor Papan, Daerah Tutong. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda