Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Tiga individu telah didenda oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) kerana melakukan kesalahan melanggar Bab 12(1) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021, iaitu kesalahan membuang sampah di tempat awam di kawasan Kampung Sungai Kebun.
Awang Abdul Muiz bin Haji Safar dan Dayang Nurhidayah binti Mohammad Shamsul masing-masing telah dikenakan denda kompaun $100 setiap seorang manakala Awang Mohammad Nurfaidi bin Omar dikenakan denda kompaun sebanyak $300.
JASTRe dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini turut menegaskan, tiga individu tersebut diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda kompaun tersebut.
Jika gagal menjelaskan bayaran denda kompaun itu, individu berkenaan boleh didakwa di mahkamah, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama.
Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P4-3A_23082023-2.jpg)