Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buang sampah, syarikat didenda $2,000

    Oleh Sim Y.H.

    TUTONG, 25 SEPT – Sebuah syarikat pembinaan telah dikenakan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 (Penggal 30), kerana melonggokkan dan membuang sampah di sekitar kawasan bangunan komersial di tempat awam.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, hari ini, menyatakan hasil daripada pemeriksaan dan rondaan Unit Penguatkuasaan, jabatan di daerah itu, sebuah syarikat telah dikenakan denda kompaun sebanyak $2,000.00 di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 (Penggal 30).

    Sehubungan dengan itu, orang ramai dan masyarakat umum disarankan memberikan kerjasama dan sentiasa peka mengenai kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30).

    Syarikat pembinaan membuang dan melonggokkan sampah di sekitar kawasan bangunan komersial di tempat awam di daerah itu. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG

    Jika gagal membayar denda berkenaan dalam masa 7 hari daripada tarikh kompaun dikeluarkan maka syarikat berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah.

    Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $2,000.00 dan tidak melebihi $10,000.00 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000.00 dan tidak melebihi $30,000.00, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap di tempat awam.

    GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda