Oleh Nurdiyanah R. –
BELAIT, 24 OGOS – Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait telah mengeluarkan satu denda kompaun ke atas sebuah syarikat di Daerah Belait semasa operasi pemantauan harian di beberapa kawasan di bawah kawalan jabatan tersebut, baru-baru ini.
Syarikat tersebut telah dikenakan denda kompaun sebanyak $500 kerana telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, 2021 (Penggal 30), Bab 12 (1) (d) iaitu menggugur, menumpah atau menghamburkan sebarang habuk, pasir, tanah liat, tanah gambur, batu kerikil, rumput, jerambi, tatal, habuk kayu, abu, kotoran kebun, kotoran bangsal, kotoran perniagaan, baja, sampah atau apa jua barang dan bahan lain di tempat awam, sama ada dari sesebuah kenderaan yang bergerak atau tidak atau dalam apa jua cara lain.
Dalam pada itu, syarikat terbabit telah pun menjelaskan denda kompaun berkenaan.