Buang sifat malu dengan berlakon

Tampil dengan Siti Nordiana dalam drama Satukan Rasa yang sedang disiarkan, Khai Bahar beroleh pengalaman berharga sebagai pelakon. Kali pertama menceburi dunia lakonan, Khai bersyukur pengalaman di lokasi penggambaran mengajarnya berhadapan ramai orang.

“Dunia lakonan sangat berbeza dengan nyanyian. Jika di pentas nyanyian, kita menghiburkan peminat atau pengunjung sebelum pulang. Ketika berlakon, kita perlu habiskan banyak masa di lokasi penggambaran. Malah, boleh dikatakan dari pagi hingga malam. Saya jadikan ini sebagai peluang untuk melatih diri termasuk meletakkan keyakinan berhadapan ramai orang. Sebagai bakat baharu dalam dunia lakonan, kali pertama di lokasi sangat sukar. Saya perlu banyak membuat penyelidikan dan melihat semuanya dalam skop yang luas,” katanya kepada media.

Khai yang melakukan hatrik apabila menjulang trofi Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) tiga kali, mengaku rasa cuak makin terhakis sebaik tiba di lokasi drama. “Pada mulanya, saya takut gagal penuhi kehendak penulis skrip dan pengarah. Namun, perlahan-lahan, saya jadi biasa. Sokongan pengarah, Siti Nordiana, pelakon lain dan kru menjadi azimat berharga untuk saya mencabar kebolehan diri,” katanya.

Ditanya mengenai teman gandingannya dalam drama arahan Hadith Omar itu, Khai menganggap Siti Nordiana atau Nana sangat rajin dan bertanggungjawab.

“Kami bersama di lokasi dari pagi sampai malam. Nana sangat rajin dan suka belajar. Kalau ada yang dia tak puas hati ketika berlakon, dia perbaiki dan belajar daripadanya. Saya juga cuba membuat perkara sama. Nana juga tepati masa. Kadang-kadang dia datang lebih awal daripada waktu yang ditetapkan,” katanya yang turut merakamkan single judul sama sebagai runut bunyi drama berkenaan bersama Nana. – Agensi

Ditanya mengenai teman gandingannya dalam drama arahan Hadith Omar itu, Khai menganggap Siti Nordiana atau Nana sangat rajin dan bertanggungjawab. – Agensi