Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Pasukan Buangkok FC berjaya mencipta kemenangan sulung selepas menewaskan Pasukan DDT FT 5-1 dalam Kejohanan Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) 2024/25 di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Perlawanan tersebut menyaksikan pasukan jemputan dari Repulik Singapura yang hampa dalam dua perlawanan lalu, bangkit dengan menampilkan permainan yang lebih konsistan dan serangan-serangan pantas bertali alus meskipun mendapat saingan sengit daripada DDT FT yang juga berusaha mencari kemenangan sulung.
“Para pemain bersemangat tinggi dan memanfaatkan beberapa peluang untuk membolosi gawang lawan. Kemenangan tersebut juga menyuntik semangat buat pasukan kami untuk memburu kemenangan dalam perlawanan seterusnya,” jelas Ketua Jurulatih Buangkok FC, Ahmad Hanif Sarmin.
Beliau memuji anak buahnya yang berjaya menampilkan persembahan yang menarik dan berkesan untuk mengutip tiga mata penuh.
Walaupun tanpa dua pemain tonggak yang digantung perlawanan, Buangkok FC lebih awal membolosi gawang DDT FT menerusi jaringan Habibi Sulan pada awal minit pertama.
Pasukan dari Republik Singapura itu mula lega menerusi sentuhan menarik daripada pemain bintang dari Indonesia, Bambang Bayu Saptaji di minit ke-10 untuk menambah jaringan menjadi 2-0.
DDT FT menukar rentak perlawanan pada babak kedua perlawanan dan berjaya merapatkan jurang menerusi Awang Muhd Nur Hakimin Said Zharfan di minit ke-21.
Namun, Buangkok FC kembali garang menerusi gerakan pantas Bayu Saptaji yang menghidupkan rentak serangan sehingga berjaya mencipta jaringan di minit ke-23 dan Abdullah Bazeer Ahamed pula melengkapkan kemenangan berharga menerusi jaringan di minit ke-37.
Sementara itu, Pasukan Kasuka Ar Rawda dan Almerez Hitune FC pula mantap dengan kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah apabila masing-masing berjaya mencipta kemenangan kedua untuk mengungguli carta teratas dan kedua liga BEFL 2024/25