Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buat penilaian ikut piawaian

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Pihak yang berkenaan diingatkan bahawa penilaian pasaran hartanah tidaklah boleh dianggap sebagai cara untuk memaksimumkan keuntungan sama ada kepada para pemaju atau pendapatan seseorang ejen hartanah atau pun para penilai serta institusi kewangan dengan mengeksploitasi golongan pengguna atau pelanggan.

    Penilaian harus disediakan mengikut piawaian profesional antarabangsa dan ia tidak boleh dimanipulasikan demi memberi manfaat kepada penjual atau pemaju tanpa perlu mengambil kira kemampuan rakyat dan penduduk tempatan.

    “Ia sepatutnya diperolehi daripada permintaan dan bekalan pasaran yang perlu dibuat kajian yang teliti terlebih dahulu kerana kesan penilaian pasaran akan membawa risiko yang besar kepada kestabilan pasaran harta tanah negara,” tekan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Keahlian Lembaga Penilai dan Ejen Hartanah (BoVEA) Brunei Darussalam serta Penyampaian Sijil Pendaftaran dan Amalan yang berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.

    Beliau menekankan bahawa risiko seperti kemelesetan ekonomi perlu diambil kira dalam membuat penilaian kerana ia boleh saja mengugat kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta penduduk di negara ini jika tidak diambil perhatian yang sewajarnya.

    Pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa nilai integriti, tanggungjawab dan teras kepercayaan adalah ciri-ciri penting bagi golongan profesional dan pakar dalam sesebuah negara dan ia menjadi cagaran ke arah kesejahteraan sosial rakyat dan penduduk sesebuah negara.

    “Oleh itu, penilai di kedua-dua sektor awam dan swasta, ejen hartanah dan pengurus hartanah hendaklah menanai kepercayaan para pelanggan dan pengguna serta menggunakan keupayaan mereka sebagai profesional secara maksimum dalam bidang masing-masing.”

    Yang Berhormat Dato menekankan beberapa masalah yang dikenal pasti berkaitan dengan perkhidmatan ejen hartanah dan pemaju perumahan ialah pembayaran lambat atau tidak ada pembayaran kepada konsultan atau kontraktor bangunan, mengurangkan kos pembangunan serendah mungkin yang menyebabkan penggunaan produk berkualiti rendah, tidak bertanggungjawab terhadap pembangunan projek mereka selepas Defect Liability Period (DLP) atau menjual, tidak bertanggungjawab untuk menyelenggarakan kesemua kawasan umum selepas unit dijual, tanah yang telah dipohonkan untuk dimajukan tidak diusahakan kemajuan pembangunan sampai bertahun-tahun serta ejen hartanah atau pemaju perumahan tidak bertanggungjawab bagi pembelian unit sehingga selesai dan wang deposit diperlukan bukan untuk pembelian unit.

    Sehubungan itu, beliau menggesa dan menyarankan semua pihak yang berkaitan dalam pengurusan hartanah seperti pemilik tanah, pelabur dan pemaju di negara ini untuk terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat daripada penilai harta tanah swasta yang berdaftar dengan BoVEA dengan memastikan kajian kebolehlaksanaan projek (feasibility studies) dibuat terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada perancangan pra-pembangunan tanah atau hartanah mereka.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda