Saturday, October 26, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buat persiapan awal elak kesesakan di kedai

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Dengan sesi persekolahan bakal bermula kurang dari tiga minggu saja lagi, sudah pasti ibu bapa dan penjaga mula sibuk membuat persiapan keperluan anak-anak daripada pakaian seragam sekolah, peralatan sekolah dan juga buku-buku teks sekolah.

    Suasana kesibukan akan lebih ketara apabila minggu terakhir penghujung tahun ini, lebih-lebih lagi dengan pembayaran gaji dan bonus.

    Temu bual media dengan jurucakap salah sebuah kedai buku di daerah ini dalam tinjauan media hari ini telah mengongsikan persiapan yang telah dibuat oleh salah sebuah kedai alat tulis sempena musim kembali ke sekolah ini.

    Pihak syarikat berkenaan telah membuat beberapa persiapan awal sejak penghujung Oktober untuk memastikan buku-buku yang diperlukan mencukupi supaya ibu bapa dan penjaga tidak berulang alik ke kedai untuk mendapatkan buku yang dikehendaki.

    “Persiapan awal ini juga untuk memastikan buku-buku yang kurang akan ditambah dengan menghubungi pihak pembekal lebih awal bagi mendapatkan bekalan yang diperlukan dengan segera sebelum penghujung November,” jelasnya.

    Persiapan orang ramai bagi keperluan sesi persekolah yang akan tiba nanti. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara keperluan persekolahan yang boleh didapati di salah sebuah kedai buku. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sementara itu, Dayang Dania binti Haji Mohidin yang ditemui di salah sebuah kedai buku di daerah ini mengongsikan, beliau lebih selesa untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak semasa gaji pertama Disember untuk mendapatkan buku anak-anak.

    Manakala itu, Dayang Norhamimah binti Jasni, ibu kepada empat orang anak pula lebih selesa membuat persiapan keperluan anak-anak semasa penghujung November.

    “Dengan membeli sebahagian buku yang diperlukan lebih awal, ia bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan di kedai, tapi dapat membahagikan perbelanjaan untuk membeli keperluan persekolahan yang lain,” jelasnya.

    Seorang lagi pengunjung, Awang Aris bin Ismail pula berkongsi, selain mengunjungi kedai buku, beliau juga membuat tempahan di kedai buku untuk buku-buku kerja dan teks anak-anaknya yang mana cara ini dilakukan seperti tahun-tahun sebelumnya.

    Memandangkan beliau mempunyai anak yang ramai dan masih banyak lagi yang bersekolah, perbelanjaan terpaksa dikawal dengan baik dan hanya membeli barang yang benar-benar diperlukan saja.

    “Manakala buku teks persekolahan 2024 yang masih boleh digunakan, akan digunakan untuk anak-anak yang lain bagi mengurangkan perbelanjaan,” tambahnya.

    Sesi musim persekolahan 2024 akan bermula pada 2 Januari depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda