Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL– Orang ramai terutamanya mereka yang hendak membuat perjalanan ke luar negara dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dengan menyediakan dokumen-dokumen penting yang dikehendaki bagi negara yang hendak dituju untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ini disebabkan, kisah sepasang suami isteri warga Brunei yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah tular dalam aplikasi media sosial baru-baru ini, setelah mereka berdepan masalah dengan barangan yang hendak dibawa pulang ke tanah air.
Menurut video yang dikongsikan secara langsung oleh pasangan terbabit memaklumkan mereka telah membuat perjalanan pulang dengan mengikuti salah sebuah syarikat penerbangan tambang murah dari KL, Malaysia menuju ke Miri, Sarawak.
Masalah yang mereka hadapi itu, turut mencetuskan pelbagai reaksi dan perasaan simpati daripada warganet tempatan yang menyaksikan kandungan video tersebut dengan ada di antaranya turut menasihatkan pasangan tersebut untuk bertenang dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
Berdasarkan pengalaman mereka itu, apa yang disarankan untuk mereka yang hendak melakukan percutian terutamanya ke luar negara adalah mengambil insurans perjalanan atau travel insurance yang merupakan suatu perkara yang penting diambil meskipun ia tidak diwajibkan.
Dengan adanya perlindungan diri tersebut, percutian dan perjalanan seseorang itu sudah pasti akan menjadi lebih tenang dan selamat setiap masa khususnya jika berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini termasuklah yang berkaitan kemalangan, kesihatan, keselamatan barangan dan pembatalan penerbangan.


