Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Untuk membuat perubahan, ia tidak perlu menunggu orang lain untuk mengubahnya, malah ia bergantung kepada diri sendiri.
Kehadiran tahun baharu ini adalah waktu yang sangat sesuai untuk semua membuat perubahan, kita hidup di dunia ini sememangnya menginginkan kejayaan dan kebahagian di dunia dan di akhirat.
Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini dengan tajuk Khutbah, ‘Membuat Perubahan Untuk Mencapai Kejayaan’ seterusnya menambah, untuk mencapai kejayaan dan kebahagian itu, mestilah berani membuat perubahan dalam kehidupan, perubahan merupakan satu penghijrahan atau peralihan melakukan perubahan dari satu keadaan yang baik kepada satu keadaan yang lebih baik.
Katanya lagi, “mempunyai azam dan cita-cita merupakan satu perkara yang mesti ada pada diri seseorang kerana ia merupakan satu motivasi dan pendorong untuk melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan ke arah dan ke tahap yang lebih baik lagi, lebih-lebih lagi pada masa ini para pelajar atau murid baharu memulakan musim persekolahan.”
Khatib dalam khutbahnya seterusnya menjelaskan, pelajar sudah setentunya mempunyai azam untuk menjadi pelajar yang cemerlang dan berjaya, sama juga para pendidik atau guru meningkatkan azam untuk mendidik anak bangsa supaya menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan juga negara.
Manakala bagi para pekerja pula, hendaklah berazam meningkatkan daya usaha, kualiti dan produktiviti kerja dari masa ke semasa, kerana semua tekad dan azam bertujuan untuk menjadikan kita insan yang lebih baik, lebih beriman dan lebih bertakwa.
Dalam konsep perubahan, jelas Khatib, agama Islam menganjurkan umatnya untuk berubah dari segi rohani dan jasmani ke arah yang lebih baik.
“Rasulullah S.A.W. adalah teladan yang terbaik seluruh manusia untuk diikut dalam semua aspek kehidupan seperti dari sudut ketaatan dan keimanan terhadap Allah, akhlak, sikap dan sebagainya.”
Khatib seterusnya menjelaskan, setiap masa yang berlalu dalam kehidupan akan menjadi sejarah dan saksi atas segala perbuatan yang telah dilakukan sebagai satu pengalaman yang mendewasakan dan mematangkan fikiran.
“Jadikanlah ia sebagai satu wadah untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.,” tambahnya.
Khatib dalam khutbahnya turut menyeru untuk memulakan hari ini dengan jiwa yang bersih dan penuh semangat agar diberi kemudahan dan kesempatan untuk menambah dan meningkatkan ibadah serta amal kebajikan.
Jika kita tergelincir dalam kemungkaran dan kemaksiatan, tegas Khatib, segeralah kembali ke pangkal jalan memohon kemapunan Allah, dan jadikan ia sebagai satu titik permulaan dan perubahan untuk mencapai kejayaan dan kebahagian.
Kita perbaiki hubungan dengan Allah, berusaha memperbaiki posisi dalam kehidupan dengan mempergunakan waktu dan kesempatan sebaik-baiknya, terus mempunyai semangat dan harapan dalam perjuangan mengatur masa hadapan yang lebih cerah.
“Jangan sesekali mensia-siakan kesempatan atau menagguh serta melewatkan waktu melakukan amal kebajikan, dan mudah-mudahan kita beroleh keberuntungan, kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat,” jelasnya.
