Wednesday, July 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buaya lebih 2 meter ditangkap

    KUCHING, 10 Mac – Seekor buaya berukuran 2.17 meter memasuki perangkap Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Sungai Santubong hari ini.

    Buaya betina itu dipercayai memakan satu daripada 16 mata kail yang dipasang umpan ayam dan kambing sebelum diletakkan di 16 lokasi terpilih di sepanjang sungai.

    SWAT SFC melaksanakan operasi mencari dan menghapuskan ini selepas seorang kakitangan sebuah sekolah menengah dibaham buaya ketika menjala udang di tebingan sungai Kampung Santubong pada 8 Feb lalu.

    Timbalan Pengurus Besar SFC, Oswald Braken Tisen berkata bagaimanapun buaya tersebut bukan sasaran mereka kerana masih kecil dan ia akan dipindahkan ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Matang.

    “Kawasan ini (Sungai Santubong) adalah zon perpindahan buaya dan SWAT SFC beroperasi di sini buat kali kedua berikutan terdapat kes yang mana orang kampung dibaham buaya,” katanya ketika ditemui di jeti Jabatan Perikanan Santubong hari ini.

    Buaya sepanjang 2.17 meter yang memasuki perangkap SWAT. – Bernama
    Buaya sepanjang 2.17 meter yang memasuki perangkap SWAT. – Bernama

    Oswald berkata operasi penakaian yang bermula sejak Isnin (6 Mac) lepas akan diteruskan sehingga esok, sebelum operasi ditamatkan.

    Selain lima anggota SWAT SFC, operasi yang turut disertai dua anggota polis, seorang anggota RELA dan seorang kakitangan Jabatan Perikanan Sarawak dijalankan di sepanjang 2.5 kilometer dari lokasi serangan buaya berkenaan.

    Pasukan operasi meletakkan papan tanda amaran kehadiran buaya di dua lokasi berhampiran tebingan sungai Kampung Santubong itu bagi meningkatkan kesedaran orang ramai seterusnya mengelak kejadian serangan berulang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda