Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buaya serang bandar susulan banjir

    GUJARAT, 4 SEPT – Sebuah bandar di Gujarat bernama Vadodara diserang seekor buaya gergasi berikutan limpahan sungai tempatan yang disebabkan oleh hujan.

    Menurut laporan Oddity Central, seolah-olah tidak cukup dengan cabaran menangani air yang memasuki rumah dan jalanan mereka akibat banjir, penduduk Vadodara perlu berwaspada terhadap buaya gergasi yang menunggu untuk membaham haiwan peliharaan mereka, bahkan menyerang mereka.

    Video reptilia gergasi itu merangkak di jalanan, sedang bersantai menyejukkan badan di atas bumbung rumah, atau pun berenang bebas dengan haiwan mati di celah-celah rahang mereka telah tular di media sosial India sejak Sungai Vishwamitri melimpah di kawasan itu minggu lalu.

    Sungai itu adalah rumah kepada ratusan buaya air tawar, sekurang-kurangnya dua dozen daripadanya ditangkap di Vadodara antara 27 hingga 29 Ogos lalu.

    “Buaya terkecil yang kami selamatkan adalah sepanjang dua kaki, manakala yang terbesar sepanjang 14 kaki, yang ditangkap pada Khamis di Kamnath Nagar yang terletak di sepanjang sungai. Penduduk tempatan memaklumkan kami tentang buaya besar ini,” kata Pegawai Hutan Banjaran Vadodara, Karansinh Rajput. “Dua buaya lain, sepanjang 11 kaki, turut diselamatkan pada Khamis lalu dari Bulatan EME dan kawasan lapang berhampiran Jabatan Zoologi Universiti MS.”

    Atas & Bawah: Antara gambar yang dikongsi dari laman X. – Oddity central

    Sungai Vishwamitri terbentang sepanjang 17 kilometer melalui bandar India dan penduduk di sepanjang tebing sungai itu sudah biasa dengan buaya yang menjelajah ke jalan raya semasa musim tengkujuh, tetapi tahun ini, sebilangan besar daripada mereka terpaksa dialihkan dari kawasan perumahan.

    Penduduk Vadodara telah diberi amaran supaya berwaspada terhadap buaya apabila mereka keluar dari rumah mereka, walaupun reptilia gergasi itu diketahui menyerang manusia. Sesekali kelihatan mangsa seperti anjing, kucing, atau lembu yang dibawa pergi oleh buaya setelah membahamnya.

     “Vadodara berdepan ancaman berganda dengan banjir dan kemunculan buaya. Ketika Sungai Vishwamitri melimpah, buaya dilihat menerokai pelbagai penempatan manusia di seluruh bandar,” tulis seorang penduduk di laman X. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda