Saturday, March 22, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bubur lambuk: Juadah tradisi Ramadan

    KUALA LUMPUR – Ketika senja tiba, ratusan umat Islam di sebuah masjid di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur menjamu semangkuk bubur nasi wangi yang dikenali sebagai ‘bubur lambuk,’ sebahagian daripada tradisi Ramadan sejak beberapa tahun lalu.

    Bubur lambuk yang dimasak secara perlahan dengan pelbagai rempah dalam periuk besar dan dikacau dengan senduk besar, disediakan secara tradisional oleh sukarelawan di pekarangan masjid sebelum diedarkan kepada orang ramai untuk hidangan berbuka puasa di negara yang sebahagian besarnya beragama Islam.

    Tetapi kuahnya yang disediakan khas di Masjid India, sebuah masjid terkenal Kuala Lumpur, menyajikan versi unik bubur menggunakan resipi yang berasal dari India.

    Resipi itu dikenali sebagai Nombu Kanji, menurut imam masjid tersebut, Muhammad Nasrul Haq Abdul Latif.

    “Tradisi ini telah diturunkan dari generasi ke generasi, dari tahun 60an hingga 70an,” katanya kepada AFP.

    Gambar menunjukkan seorang lelaki India Muslim sedang menyediakan bahan-bahan untuk membuat hidangan popular bubur lambuk di Masjid India. – AFP
    Seorang lelaki India Muslim mencampurkan bahan-bahan untuk ‘Bubur Lambuk.’ – AFP
    Gambar menunjukkan orang ramai beratur untuk menerima sebungkus hidangan bubur lambuk di Masjid India. – AFP
    Para sukarelawan sedang membungkus hidangan bubur lambuk. – AFP
    Bubur lambuk yang telah siap dibungkus. – AFP

    “Jadi ia telah menjadi satu simbol. Jika Nombu Kanji tidak ada, ia seperti tidak lengkap,” tambahnya.

    Sukarelawan masjid menggunakan 140 kilogram beras setiap hari untuk memasak bubur, yang dihidangkan dalam mangkuk kepada jemaah atau dibungkus dalam 1,000 paket plastik besar untuk diagihkan kepada orang ramai.

    Setiap paket cukup untuk memberi makan kepada sebuah keluarga terdiri empat orang.

    “Dari sudut pandang, ia memudahkan urusan penduduk di kawasan ini, kadangkala gelandangan yang bersusah payah mendapatkan makanan, pekerja berpendapatan rendah, dan pekerja pejabat yang kadangkala tidak sempat pulang memasak mendapat manfaat daripada ini,” katanya.

    “Jadi, penyediaan juadah berbuka puasa oleh pihak masjid membantu memudahkan kehidupan seharian mereka sepanjang Ramadan,” tambahnya.

    Seorang penduduk tempatan yang berasal dari India, Mohaiyadin Sahulhameed, berkata bubur yang dihidangkan di masjid mengingatkannya kepada kampung halaman.

    “Di kampung, cara kami memasak menggunakan kuali besar, dengan daun kari, biji sawi, kayu manis, dan segala jenis bahan digaul bersama. Apabila digabungkan dengan nasi, ia menghasilkan aroma yang kaya, hampir sama dengan cara ia dibuat di sini,” katanya.

    Tukang masak masjid itu, Sathakkathullah Hameed, berkata dia menyediakan periuk besar bubur setiap hari sebagai seruan agama.

    “Pada bulan puasa ini, saya ingin membantu orang lain. Allah kurniakan pahala, rahmat, dan keberkatan, dan insya-Allah akan memberi rezeki,” katanya.

    “Apabila orang makan bubur yang saya masak, mereka mengucapkan ‘Bismillah’ (dengan nama Allah), dan saya membalas dengan ‘Alhamdulillah’ (segala puji bagi Allah).” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda