Saturday, November 16, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bubur lambuk, sajian kasih Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    Setiap kali kedatangan bulan Ramadan, pasti akan hadir bersamanya aroma khas dari dapur-dapur yang sibuk mempersiapkan hidangan untuk berbuka.

    Antara deretan makanan yang membangkitkan selera, bubur lambuk adalah salah satu pilihan santapan ketika berbuka yang dimasak secara beramai-ramai oleh masyarakat setempat khususnya dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

    Hidangan tersebut bukan hanya sekadar mengenyangkan, tetapi juga menghangatkan jiwa dengan semangat kebersamaan yang terjalin saat memasaknya secara bergotong-royong.

    Rentetan itu, baru-baru ini, Persatuan Kebajikan Melayu SeMalaysia (PKMS) telah memanfaatkan bulan suci ini sebagai peluang untuk menggalakkan nilai-nilai kebajikan dan persaudaraan. Program Bubur Lambuk Perdana yang diadakan di kediaman Yang Dipertua PKMS, Haji Mohd Taufik bin Haji Abdul Rahim, merupakan manifestasi daripada komitmen tersebut.

    Dengan penyediaan 1,000 bekas bubur lambuk, PKMS telah menunjukkan bahawa berkongsi rezeki itu indah, dan kepedulian sosial dapat diwujudkan melalui acara yang seumpamanya. Program yang dilaksanakan oleh PKMS itu adalah bagi tahun ke-10 sejak ianya diadakan pada tahun 2014.

    Proses pembungkusan yang dilakukan oleh para sukarelawan yang terlibat. – GAMBAR SERAHAN PKMS
    Antara yang terlibat bergotong-royong menyiapkan juadah bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai. – GAMBAR SERAHAN PKMS
    Antara ahli PKMS yang terlibat bagi menjayakan projek tersebut bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN PKMS
    Sukarelawan dari Projek FEED menyiapkan bahan-bahan untuk hiasan bubur lambuk. – GAMBAR SERAHAN PKMS
    Penyediaan bahan-bahan untuk memasak bubur lambuk. – GAMBAR SERAHAN PKMS

    Selain itu, program tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Perhubungan, Mohd Idris bin Abu Nawas selaku wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan; Penolong Pengarah Petronas Carigali Brunei Berhad, Shar Kawi bin Shafie dan isteri; sukarelawan-sukarelawan dari Projek FEED dan ahli-ahli PKMS.

    Menariknya, menerusi program tersebut, mereka yang terlibat telah membuktikan bahawa bulan Ramadan adalah lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga. Sebaliknya ia adalah tentang memperkukuh ikatan komuniti dan membantu mereka yang memerlukan khususnya di negara ini.

    Justeru itu, Program Jelajah Amal Ramadan 1445 Hijrah yang akan diadakan oleh PKMS adalah langkah selanjutnya dalam misi mulia ini. Dengan bergerak secara konvoi ke rumah-rumah asnaf, PKMS tidak hanya memberikan sumbangan, tetapi juga harapan dan dukungan moral kepada mereka yang kurang bernasib baik.

    Baru-baru ini juga, PKMS telah menjadi contoh nyata bagaimana organisasi kebajikan dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial. Dengan inisiatif seperti Program Bubur Lambuk Perdana dan Jelajah Amal Ramadan, PKMS telah menetapkan piawaian tinggi untuk kegiatan kebajikan dan menjadi inspirasi bagi banyak organisasi lain.

    Semoga bulan Ramadan tahun ini terus menjadi sumber inspirasi bagi kita semua untuk berbuat kebajikan dan berbahagi rezeki antara satu sama yang lain. Diharapkan usaha-usaha seperti yang dilakukan oleh PKMS terus berkembang dan memberikan kesan positif yang berlanjutan bagi masyarakat di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda