Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Dalam kebanjiran pelbagai jenis hidangan makanan dan juadah untuk berbuka puasa di Gerai Ramadan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, gerai Restoran Haska Jerudong Park telah mencuri tumpuan ramai dengan hidangan uniknya iaitu Bubur Goreng.
Ini merupakan kali pertama Bubur Goreng diperkenalkan di negara ini sebagai masakan Healthy Fusion Street Food.
Tertarik dengan keunikan hidangan ini, Media Permata mengambil kesempatan menemui pengurus restoran berkenaan, Haji Mohd Hasrin bin Haji Abdul Karim yang menyatakan bahawa juadah berkenaan bersesuaian bagi mereka yang mengamalkan cara hidup sihat yang mengamalkan konsep goreng sihat.


“Bubur Goreng #1Brunei ini berkonsepkan teknik goreng catuan kesihatan yang mana menggalakkan rakyat mengamalkan cara hidup sihat serta pemakanan seimbang.
“Sempena bulan Ramadan ini, produk kami sering saja menjadi bualan masyarakat lebih-lebih lagi dari golongan muda dan pengamal diet seimbang kesihatan,” jelasnya.
Ditanya dari mana mendapatkan ilham dan idea untuk memperkenalkan perniagaan ini dalam kalangan masyarakat Brunei, beliau menyatakan idea itu datangnya daripada rakan-rakan yang terdiri daripada ahli sukan dan kesihatan.