Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bucks menang enam kali berturut-turut

    MILWAUKEE, 11 APRIL – Giannis Antetokounmpo mencatat 28 mata dan 11 lantunan ketika Milwaukee Bucks melanjutkan rentak kemenangan mereka kepada enam perlawanan dengan kemenangan 136-111 ke atas New Orleans Pelicans semalam.

    Kevin Porter Jr menyumbang 20 mata dan tujuh assist, manakala Kyle Kuzma dan Gary Trent Jr masing-masing menjaringkan 17 mata. Bobby Portis menambah 14 mata dan Ryan Rollins menamatkan aksi dengan 12 mata untuk Bucks.

    Milwaukee kini bersedia untuk menghadapi siri dua perlawanan penting menutup musim biasa menentang Detroit Pistons pada Jumaat dan Ahad.

    Lester Quinones menjaringkan 21 mata, manakala Jamal Cain dan Keion Brooks Jr masing-masing menyumbang 20 mata ketika Pelicans tewas untuk kali kelima berturut-turut. Antonio Reeves menjaringkan 16 mata, sementara Jeremiah Robinson-Earl dan Karlo Matkovic masing-masing mencatat 15 mata dan 10 rebound.

    New Orleans kekal kompetitif sehingga pertengahan suku ketiga, walaupun hanya mempunyai lapan pemain yang tersedia. Sebanyak 11 pemain disenaraikan dalam laporan kecederaan sebagai tidak dapat bermain.

    Dengan kemenangan Indiana ke atas Cleveland, Pacers mengesahkan tempat keempat di Timur, yang bermaksud Milwaukee akan memulakan saingan playoff di gelanggang lawan. Bucks perlu memenangi satu daripada dua perlawanan menentang Detroit untuk memperoleh kedudukan kelima.

    Milwaukee mendahului 89-80 dalam suku ketiga sebelum mencatat larian 9-1 yang termasuk jaringan tiga mata dan lay-up oleh Gary Trent Jr, yang membantu mereka mendapatkan kelebihan selesa sehingga membolehkan pemain utama direhatkan.

    New Orleans akan menjadi tuan rumah kepada Miami Heat pada Jumaat. Milwaukee pula akan bertemu Detroit Pistons dalam aksi pertama siri timbal balik pada hari yang sama. – AP

    Giannis Antetokounmpo melakukan gerakan ke arah jaring menentang Jamal Cain (kiri), semasa separuh masa pertama perlawanan bola keranjang NBA pada 10 April, di Milwaukee. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda