WASHINGTON, 30 MEI – Giannis Antetokounmpo berjaya meraih triple double pertama dalam playoff NBA kelmarin dan Milwaukee Bucks menewaskan Miami Heat 120-103
untuk menyingkirkan Heat dari perlawanan akhir musim di pusingan pembukaan.
Bintang Greece, Antetokounmpo menjaringkan 20 mata, 12 rebound dan 15 assist untuk membantu Bucks, yang diketuai oleh jaringan 25 mata dari pemain tengah, Brook Lopez dan 22 mata lagi dijaringkan oleh Bryn Forbes yang turun dari bangku simpanan.
Khris Middleton menambah 22 mata ketika Bucks bangkit dari ketinggalan 12 mata pada separuh masa pertama untuk memenangi siri terbaik daripada tujuh perlawanan di Eastern Conference 4-0. Mereka menantikan pemenang siri Brooklyn-Boston di pusingan kedua.
Antetokounmpo menjadi pemain ketiga Bucks mencatat triple double di playoff selepas Kareem Abdul-Jabbar pada 1970, ketika itu dia dikenali sebagai Lew Alcindor dan Paul Pressey pada 1986.
Heat, yang tewas kepada Los Angeles Lakers di final NBA tahun lalu, menyingkirkan Milwaukee dalam lima perlawanan di pusingan kedua playoff tahun lalu.

“Kami cuba fokus kepada satu perlawanan,” kata Antetokounmpo. “Kami tidak mahu bermain dengan cuai.”
Miami tidak pernah disingkirkan di siri playoff selepas tewas kepada Chicago di pusingan pertama pada 2007.
Heat mendominasi awal perlawanan, dengan Antetokounmpo terlepas enam percubaan pertama dan Miami mendahului kedudukan terbesar siri dengan 58-46.
Tetapi Milwaukee bangkit di suku ketiga dengan 24-6 dan Heat gagal menyaingi kehebatan Bucks selepas itu.
“Mereka bermain dengan sangat baik menentang kami,” kata Antetokounmpo. “Kami bermain dengan tenang, kami menggerakkan bola dengan pantas, kami bertahan dan kami berjaya meraih kemenangan.”
Bam Adebayo menjadi penjaring terbanyak buat Miami dengan 20 mata dan 14 rebound sementara Jimmy Butler meraih triple double semasa kekalahan tersebut dengan 12 mata, 10 rebound dan 10 assist.- AFP