TEXAS, 7 JUN – Sebuah keluarga di Texas mengalami ketakutan sejenak apabila seekor zirafah diberi makanan oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah menarik baju dan melambungnya ke udara.
Pada 1 Jun yang lalu, Paisley Toten sedang duduk di belakang trak semasa keluarganya melawat Pusat Hidupan Liar Fosil Rim, di mana para pengunjung dapat melihat haiwan-haiwan eksotik seperti kuda belang dan zirafah dengan lebih dekat dan memberi makanan kepada haiwan tersebut.
Keluarga itu telah berhenti untuk memberi makan seekor zirafah apabila ia menarik baju Paisley dengan mulutnya dan mengangkatnya setinggi beberapa kaki.
Ibu Paisley pada masa itu berada di dalam trak bersama-sama Paisley dan menjerit, menyebabkan zirafah itu melepaskan Paisley tanpa sebarang kecederaan.
Video kejadian itu dirakam oleh kereta yang berada di belakang sehingga menjadi tular. Keluarga Paisley juga merakam video mereka sendiri.
“Jantung saya berhenti, perut saya terasa mual… ia amat menakutkan saya,” kata Toten.
Keluarga itu kemudian membawa Paisley ke kedai dan membelikannya patung zirafah.
Pada awalnya, ketika keluarga itu melawat, peraturan taman membenarkan penumpang berada di belakang trak yang terbuka asalkan ada seorang dewasa menemani bersama kanak-kanak.
Namun selepas insiden itu, taman itu telah mengubah peraturan keselamatannya untuk mewajibkan semua orang berada di dalam kenderaan dengan pintu tertutup. – AP