HOUSTON, 27 OKT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Texas, Amerika Syarikat (AS) maut tertembak diri sendiri pada majlis sambutan hari jadinya.
Tragedi menyayat hati itu berlaku selepas kanak-kanak malang itu menemui sepucuk pistol yang tercicir dari poket salah seorang saudaranya yang menghadiri majlis berkenaan.
Polis berkata kanak-kanak malang itu sedang diraikan oleh keluarga dan sahabat dalam satu majlis di Porter, timur laut Houston pada Sabtu lalu apabila kedengaran bunyi tembakan ketika sedang bermain kad.
Budak lelaki itu ditemui bersama senjata api dengan kecederaan parah di dada dan segera dikejarkan ke stesen bomba, namun meninggal dunia di situ.
Pihak berkuasa berkata, mangsa menemui pistol yang terjatuh dari poket seorang saudara.
Menurut pertubuhan Everytown for Gun Safety, sejak awal tahun ini, AS merekodkan 229 kes tembakan tidak sengaja oleh kanak-kanak, dengan 97 kematian dilaporkan. – AFP