Sunday, July 27, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Budak 6 tahun cipta rekod kenal 200 negara

    SEREMBAN, 27 JULAI – Siapa sangka, pada usia enam tahun seorang kanak-kanak lelaki D. Devakshean berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan kepintaran luar biasanya mengenal pasti 200 negara berserta mata wang masing-masing dengan tepat dalam masa 11 minit 45 saat.

    Berdasarkan kebolehan unik itu, namanya tercatat dalam senarai British World of Records (BWR) dan diiktiraf sebagai Young Global Expert to Identify Flags and Currencies of 200 Countries of the World.

    Lebih membanggakan, kanak-kanak genius itu turut tersenarai dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian Most Foreign Currencies Identified by a Child in One Minute selepas berjaya mengenal pasti 65 mata wang asing dalam masa seminit.

    Ibunya G. Devamalar, 37, yang berasal dari Negeri Sembilan berkata anaknya mula menunjukkan minat terhadap bendera negara sejak berusia setahun apabila dia boleh mengenal pasti dan menyebut bendera Malaysia dengan tepat.

    “Sejak kecil memang nampak kebolehan luar biasanya. Bila tunjuk gambar atau bendera, dia cepat ingat. Jadi daripada situ kami mula latihnya dan pada usia dua tahun dia mencipta rekod dengan mengenal pasti 241 negara dan bandar.

    “Daya ingatannya memang luar biasa, apa sahaja kami tunjuk dia boleh ingat bukan sahaja bendera dan nilai mata wang asing tetapi banyak lagi, dia boleh tangkap dengan cepat,” katanya selepas penyerahan sijil penghargaan daripada Koordinator BWR di Malaysia Prof Datuk Dr S. Santharasekaran dan wakil MBR V. Menaga kepada Devakshean di Seremban, hari ini.

    Devamalar berkata pada 2022 dan 2024, Devakshean turut menerima beberapa pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa termasuk Amazing Malaysian Book of Records, Jakchi Book of World Records dan Cholan Book of World Records.

    Devamalar berkata beliau dan suami A. Devakumaran, 41, sentiasa menyokong segala perkembangan dan minat anak tunggalnya itu selain menyatakan mengambil masa sebulan sebagai persediaan melatih Devakshean sebelum memohon untuk MBOR dan BWR pada tahun ini.

    “Anak saya suka tengok YouTube. Jadi, kami muat naik bahan-bahan seperti senarai mata wang asing dan sebagainya ke YouTube dan dia belajar sendiri melalui platform itu. Dia jarang bermain, dia suka baca buku dan belajar sendiri itu memang tabiatnya, kami tak pernah paksa, itu memang minat dia,” katanya.

    Devamalar turut berharap pencapaian luar biasa anaknya itu dapat membuka lebih banyak peluang lain termasuk menyertai Guinness World Records selain melihat potensi lain yang boleh dikembangkan pada masa akan datang. – Bernama

    D. Devakshean bergambar bersama sijil pengiktirafan BWR dan MBOR yang diterimanya kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda